Siaran langsung kes rasuah, Azalina mahu bincang dengan ketua hakim negara

Siaran langsung kes rasuah, Azalina mahu bincang dengan ketua hakim negara

Menteri undang-undang ulas cadangan Azam Baki prosiding kes profil tinggi disiarkan langsung bagi tingkat keyakinan rakyat terhadap proses kehakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata menyiarkan secara langsung kes bicara rasuah perlu diteliti dari sudut perundangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Cadangan menyiarkan secara langsung prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi perlu diteliti dari sudut peruntukan undang-undang sedia ada sebelum dapat direalisasikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Beliau berkata setakat ini, kebanyakan perbicaraan hanya direkodkan melalui rakaman suara, namun belum pernah ada kes disiarkan secara langsung.

“Saya tidak pasti dari segi peraturan undang-undang, tetapi ia perlu mendapat kebenaran mahkamah. Untuk siaran langsung perbicaraan, saya kena rujuk dahulu, kerana biasanya hanya dalam bentuk rakaman. Kalau rakaman suara, memang kebanyakan kes sudah ada.

“Bagaimanapun, jika perkara ini serius, ia perlu dibincangkan dengan ketua hakim negara,” katanya menurut Bernama pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang, di Putrajaya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mencadangkan prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman.

Azam dilaporkan berkata, langkah itu perlu memandangkan terdapat segelintir pihak menggunakan media sosial memanipulasi fakta perbicaraan sehingga menimbulkan tohmahan tidak sepatutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.