
Buat pertama kalinya, sebuah lukisan pemandangan di jalanan hasil karya Vincent Van Goh akan dipamerkan kepada orang awam selepas ia disimpan sebagai koleksi peribadi sebuah keluarga untuk tempoh lebih satu abad lalu.
Karya yang dihasilkan oleh Van Gogh pada 1887 ketika dia menginap bersama adiknya di ibu kota Perancis itu akan ditempatkan sebagai pameran di rumah lelongan Sotheby di Amsterdam, Hong Kong dan Paris sebelum dilelong bulan depan.
Rumah lelongan terbabit menganggarkan karya itu mencecah nilai antara 5 juta Euro (RM24.6 juta) hingga 8 juta Euro (RM39.3 juta).
Karya bertajuk ‘A Street scene in Montmartre’ memaparkan seorang lelaki dan wanita berjalan berpegangan tangan melepasi pagar dan berlatar belakang kincir angin.
Lukisan itu adalah sebahagian daripada siri yang dihasilkan oleh Van Gogh mengenai pemandangan di Montmartre, daerah berbukit di Paris yang kini didominasi oleh gereja Sacre Coeur.
Ketika pelukis berada di sana, gereja terbabit masih lagi dalam pembinaan. Hanya terdapat kawasan lapang, beberapa rumah dan kincir angin di pinggir bandar yang mula menarik perhatian pelukis bohemian dengan harga sewa yang murah.
Menurut rumah lelongan itu, lukisan terbabit pernah dilihat dalam katalog namun tidak pernah dipamerkan kepada umum selain tidak tahu siapa pemiliknya sekarang.
Dalam kenyataannya, Sotheby berkata, tidak banyak lukisan Van Gogh ketika zaman Montmartre berada di tangan pemilik persendirian.
“Kemunculannya di pasaran dari siri ikonik tidak dinafikan adalah satu perkara yang besar,” kata kenyataan itu.
Van Gogh tiba di Paris pada 1886 dan meninggalkan bandar itu pada 1888 sambil mengatakan dia penat dengan kehidupan sibuk di Paris.
Dia berpindah ke selatan Perancis di mana dia mengerat sebahagian telinganya ketika mengalami masalah mental.
Pelukis itu kemudiannya menembak diri sendiri dan meninggal dunia berhampiran Paris pada 29 Julai 1890.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]