Pengundi kali pertama mahu wakil rakyat terbuka, teruskan agenda bangun Mahkota

Pengundi kali pertama mahu wakil rakyat terbuka, teruskan agenda bangun Mahkota

Rata-rata pengundi kali pertama berharap wakil rakyat baharu akan meneruskan kesinambungan agenda pembangunan di DUN Mahkota.

PRK Mahkota Sabtu ini akan menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) dan calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar. (Gambar Bernama)
KLUANG:
PRN Johor pada Mac 2022, Syarwin Selvaraja, 18, hanya mampu memerhatikan ahli keluarganya menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mewakili DUN Mahkota.

Hampir tiga tahun berlalu, Sabtu ini giliran Syarwin memilih pemimpin yang dapat meneruskan kesinambungan agenda pembangunan untuk penduduk dalam DUN bawah Parlimen Kluang itu.

Bercakap kepada FMT, beliau yang sedang mengikuti pengajian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sebuah sekolah di Mahkota berkata, beliau pada awalnya agak takut bakal masuk ke bilik mengundi buat julung kali.

Syarwin Selvaraja.

“Namun, semakin hampir hari pengundian Sabtu ini, saya jadi semakin teruja selepas membuat semakan terhadap kedua-dua parti dan calon diketengahkan.

“Hari-hari saya akan tengok media sosial kedua-dua parti dan calon, apa misi yang mereka bawa untuk kami sebagai pengundi. Yang pasti, saya akan pilih calon dapat meningkatkan taraf negara kita,” kata pengundi kali pertama ini.

Bagi Harith Syahmi Shairul, 19, keterujaan kali pertama membuang undi akan digunakan sebaik mungkin dalam memilih wakil rakyat berfikiran terbuka untuk memajukan lagi Kluang dan Mahkota.

“Saya dah ada pilihan, dan saya pilih calon muda yang dekat dengan saya, memahami apa yang kelompok kami mahukan,” katanya yang berharap wakil rakyat baharu itu akan mewujudkan tabung biasiswa untuk pelajar STPM tidak berkemampuan.

Syahmi Shairul.

Ini kerana, menurutnya, ramai pelajar STPM tidak berkemampuan terpaksa bergelut dengan perbelanjaan harian serta kelengkapan pengajian, termasuk buku yang mahal.

“Kos perbelanjaan buku STPM semua mahal, jadi sebagai anak muda Kluang, saya harap wakil rakyat wujudkan tabung biasiswa untuk bantu mereka yang tidak mampu ketika mahu mulakan pengajian.”

Seperti rakan lain, besar harapan Hani Balqis Husaimin, 19, supaya Adun dipilih Sabtu ini dapat menaik taraf kemudahan sukan untuk anak muda Mahkota.

Hani Balqis Husaimin.

“Saya minta wakil rakyat baharu nanti bina pusat sukan yang lengkap dengan kemudahan baik, lebih banyak gelanggang bola sepak dan bola jaring untuk kegunaan belia.

“Saya juga minta wakil rakyat baharu buat lawatan ke sekolah dan cuba lihat tandas sekolah yang memerlukan baik pulih segera.”

PRK Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, menentang calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.