Asalnya hobi bertukang, akhirnya dari van mini tercipta ‘campervan’

Asalnya hobi bertukang, akhirnya dari van mini tercipta ‘campervan’

Segalanya kerana ingin memenuhi impiannya untuk mengembara secara solo ke seluruh negara.

Ruang dalam campervan lengkap dengan ruang rehat, tempat tidur, kabinet, kipas pengudaraan dan sistem solar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bila dilihat dari luar, bentuknya seperti van biasa tiada yang berbeza, namun apabila meninjau ke bahagian dalam kenderaan ini, sesiapa pun pasti terpegun dengan hasil ciptaan Mohd Asri Mohd Nawawi ini.

Jika dua tahun lepas, dia telah berjaya mengubah suai kereta Perodua Kancil miliknya, menjadi campercar, hari ini pula, Mohd Asri telah mengubah sebuah van mini berjenama Daihatsu Hijet s85 menjadi campervan (van perkhemahan).

Segalanya kerana ingin memenuhi impiannya untuk mengembara secara solo ke seluruh negara.

Anak kelahiran Kroh, Perak ini berkata pengubahsuaian van mini berwarna hijau yang popular dikenali sebagai ‘van pasar malam’ itu, dipelajarinya melalui laman sosial YouTube dan 100 peratus dihasilkannya sendiri.

“Saya memang minat menonton YouTube mengenai campervan conversion dari luar negara, jadi terdetik dalam hati saya untuk membuatnya tetapi dalam versi Malaysia.

“Bahkan, van ini saya beli secara dalam talian di Kajang pada Nov lepas. Asalnya, keadaan van ini kosong malah saya perlu membaiki beberapa bahagian seperti enjin dan pintu terlebih dahulu sebelum dibawa pulang ke Perak,” katanya.

Van mini berjenama Daihatsu Hijet s85 menjadi campervan, lengkap ruang penyimpan kargo di atas bumbung. (Gambar Bernama)

Menariknya, Mohd Asri, 31, yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Pulau Perhentian, Terengganu sejak tahun 2014 turut berkongsi dalam bentuk video berepisod, iaitu CamperHijet di saluran YouTube Aceyie Channel mengenai segala proses pengubahsuaian yang dilakukanya.

“Saya harap ia dapat memberi dorongan dan idea kepada peminat campervan untuk memulakan aktiviti dan hobi yang santai ini. Saya seronok buat kerja-kerja pertukangan ini walaupun tiada pengalaman,” katanya mengakui hobi ini bergantung kepada bajet, kegunaan dan keselesaan sendiri.

Bercerita lanjut, pemuda ini berkata campervannya itu persis sebuah rumah bergerak kerana dilengkapi dengan ruang rehat, tempat tidur, kabinet, langsir, kipas pengudaraan, sistem solar yang berfungsi untuk menjana tenaga elektrik serta ruang penyimpan kargo di atas bumbung dengan kos sekitar RM3,000.

“Saya membuat pengubahsuaian di bahagian belakang van dengan membuat lantai kayu menggunakan papan lapis manakala bagi tempat duduk penumpang belakang ia adalah bersifat mudah alih.

“Saya gemarkan susun atur yang ringkas namun kemas, sesuai dengan situasi saya yang suka melakukan pengembaraan secara solo.

“Tapi van ini boleh memuatkan sehingga dua orang dalam satu-satu masa,” katanya yang mengambil masa enam minggu untuk membuat pengubahsuaian van tersebut.

Pada asalnya, Mohd Asri berhasrat untuk mengembara secara solo di seluruh negara bersama campervannya itu, namun terbantut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Jan lepas.

“Jadi, buat masa ini, saya hanya melakukan sedikit penambahbaikan bagi memberi lebih keselesaan selain meluangkan masa dengan ibu bapa untuk menikmatinya walaupun hanya di depan rumah,” katanya.

Lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) ini turut menyimpan impian untuk membina sendiri sebuah rumah mini yang dilengkapi semua kemudahan termasuk bilik tidur, ruang tamu, dapur, ruang makan dan tandas.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.