Impian tercapai, Branson terbang ke angkasa lepas

Impian tercapai, Branson terbang ke angkasa lepas

Jutawan berkenaan sampai di angkasa lepas menaiki kapal angkasa VSS Unity.

Richard Branson bersama krunya melepasi sempadan angkasa lepas yang diiktiraf AS, mencapai altitud 86km dengan menaiki kapal angkasa VSS Unity. (Gambar AP)
NEW MEXICO:
Jutawan Britain Richard Branson terbang ke angkasa lepas semalam menaiki kapal Virgin Galactic, sebuah perjalanan yang digambarkannya sebagai “pengalaman sekali dalam seumur hidup” – sesuatu yang diharapkannya akan melancarkan era pelancongan angkasa yang menguntungkan.

“Saya impikan saat ini sejak kecil, tetapi tiada yang dapat menyediakan anda bagi pengalaman melihat Bumi dari angkasa lepas,” katanya.

Branson, bersama tiga penumpang dan dua juruterbang (semua pekerja syarikat Virgin miliknya) melepasi sempadan angkasa lepas yang diiktiraf Amerika Syarikat, mencapai altitud 86km dengan menaiki kapal angkasa VSS Unity.

Unity yang dijana kuasa roket itu mencapai kelajuan tertinggi Mach 3 ketika terbang ke angkasa lepas.

“Tahniah buat pasukan hebat di Virgin Galactic atas kerja keras anda selama 17 tahun yang membolehkan kita pergi sejauh ini,” kata Branson sewaktu siaran langsung ketika Unity dalam perjalanan pulang, dengan menggelar pengalamannya sebagai “sekali dalam seumur hidup”.

Branson turut melancarkan pertandingan bagi peminat angkasa lepas untuk memenangi dua tiket bagi penerbangan Virgin Galactic dan lawatan peribadi ke Spaceport America.

Peranan utama Branson adalah untuk menilai pengalaman angkasawan agar perjalanan sebegini dapat diperhebat buat pelanggan pada masa hadapan.

Pengasas Virgin Group berusia 70 tahun itu dikenali dengan “seleranya” untuk pengembaraan dan telah mencipta pelbagai rekod dunia melalui penerbangan belon panas dan aktiviti berperahu.

Beliau mengasaskan Virgin Galactic pada 2004, namun impiannya hampir terkubur pada 2014 setelah sebuah kemalangan menyebabkan kematian seorang juruterbang, menangguhkan program berkenaan.

Sejak itu, VSS Unity berjaya sampai di angkasa lepas tiga kali, iaitu pada 2018, 2019 (disertai ahli kru pertama yang bukan juruterbang), dan terakhir sekali pada Mei lalu.

Penerbangan semalam berlepas dari Spaceport America, pangkalan besar yang dibina di padang pasir Jornada del Muerto, kira-kira 20 batu di tenggara bandar Truth or Consequences.

Selepas penerbangan semalam, Virgin Galactic merancang dua lagi perjalanan seumpamanya, kemudian operasi komersial biasa bermula awal tahun depan.

Matlamat utamanya adalah untuk membuat 400 penerbangan setahun.

Kira-kira 600 tiket telah dijual kepada individu dari 60 negara, termasuk selebriti Hollywood, dengan harga antara USD200,000 dan USD250,000.

Pemilik syarikat SpaceX, Elon Musk, yang hadir menyaksikan penerbangan berkenaan semalam, mengucapkan tahniah di Twitter.

Pengasas Amazon, Jeff Bezos, turut mengucapkan tahniah di Instagram, dan menyatakan beliau tidak sabar untuk mengikut jejak langkah Branson.

Bezos, individu terkaya di dunia, dijadualkan terbang ke angkasa lepas pada 20 Julai dengan roket New Shepard ciptaan Blue Origin, syarikat miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.