Buat laporan diganggu lelaki, artis ‘cosplay’ dakwa polis salahkan pakaiannya

Buat laporan diganggu lelaki, artis ‘cosplay’ dakwa polis salahkan pakaiannya

Wanita itu mendakwa sering diganggu di media sosial termasuk cuba dihubungi menerusi panggilan video.

Wanita itu berkata dia masih mengenakan peragaan busana kerana perlu segera membuat laporan polis.
PETALING JAYA:
Seorang wanita mendakwa polis menyalahkan dirinya kerana mengenakan peragaan busana atau “cosplay” ketika membuat laporan berhubung insiden didekati penghendap dalam satu acara di Paradigm Mall, semalam.

Mangsa berusia 21 tahun dalam hantarannya di Facebook mendedahkan, penghendap itu datang menemuinya dalam acara “Cosplay Alley Anime Festival”.

Menurut laporan, wanita itu sudah memberi amaran kepada lelaki berkenaan supaya tidak mengganggunya, namun lelaki itu hilang kawalan dan mula menimbulkan kekecohan.

“Dia menolak rakan saya yang cuba menghalangnya daripada terus mendekati saya di reruai. Kemudian lelaki itu menjerit dan merayu kepada saya untuk bergambar bersamanya dan tidak menyekatnya dalam ‘Discord’ (aplikasi media sosial),” kata laporan itu.

Wanita itu menjelaskan bahawa dia pernah menemui suspek dalam satu acara empat bulan lalu.

Sejak itu, lelaki berkenaan sering mengganggunya dalam media sosial dengan cuba menghubunginya menerusi panggilan video.

Susulan insiden yang berlaku semalam, mangsa membuat laporan di balai polis Kelana Jaya, namun kecewa dengan “nasihat percuma” yang diberikan oleh pegawai bertugas.

Justeru, wanita itu menyatakan kekecewaannya di Twitter.

“Saya pergi ke balai polis dalam keadaan sedang mengenakan ‘cosplay’ kerana saya mahu segera membuat laporan polis.

“Pegawai bertugas memberitahu saya ‘anda pakai (pakaian) seperti ini, anda menjual gambar seperti ini, inilah akibatnya. Anda pun bersalah juga.’

“Saya diganggu seorang yang mempunyai masalah mental. Saya mangsa di sini. Bagaimana dia boleh mengatakan saya pula bersalah kerana melakukan apa yang menjadi hobi saya?” katanya di Twitter.

Media sedang menunggu maklum balas berhubung dakwaan itu daripada polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.