Panggil ‘sayang’ dianggap gangguan seksual untuk penjawat awam

Panggil ‘sayang’ dianggap gangguan seksual untuk penjawat awam

Menghantar gambar dan mesej tidak senonoh juga satu kesalahan, manakala hubungan sulit dalam kalangan penjawat awam boleh membawa kepada tindakan tatatertib.

Penjawat awam yang membuat aduan gangguan seksual perlu menyatakan secara khusus sama ada mereka disentuh, dibelai, dicium atau dipeluk, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
PETALING JAYA:
Penjawat awam akan berdepan masalah sekiranya menggunakan panggilan “sayang” ketika bercakap dengan rakan sekerja.

Menurut notis Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), ungkapan sedemikian dianggap satu bentuk gangguan seksual.

Hubungan sulit dalam kalangan penjawat awam akan membawa kepada tindakan tatatertib, menurut senarai gangguan dan kesalahan tatatertib lain yang diedarkan kepada jabatan dan agensi kerajaan bulan lalu.

Senarai itu termasuk “sexting” atau menghantar gambar dan mesej tidak senonoh dengan konotasi seksual.

Senarai itu disediakan bahagian kenaikan pangkat dan disiplin SPA bertujuan memperhalusi pertuduhan yang dikenakan terhadap penjawat awam pada pendengaran tatatertib.

Menurutnya, mangsa yang diganggu secara fizikal mesti menyatakan secara khusus sama ada mereka disentuh, dibelai, dicium atau dipeluk semasa memfailkan aduan kepada Lembaga Disiplin.

“(Mangsa) juga mesti menyatakan jika mana-mana tindakan di atas membuatkan mereka berasa tidak senang, terhina atau terganggu,” menurut senarai itu.

Mereka yang memfailkan aduan mengenai hubungan sulit mesti memasukkan maklumat tepat seperti tempoh hubungan itu.

Selain gangguan seksual, senarai semakan itu juga menyebut kesalahan berkaitan dadah, tidak hadir tanpa cuti rasmi, menggunakan sijil perubatan palsu, mengeluarkan kenyataan awam atau media sosial yang tidak dibenarkan dan melanggar prosedur perolehan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.