
Katanya, soal menang kalah adat pertandingan dan apa lebih penting setiap calon termasuk pembangkang mahupun kerajaan berkempen secara berhemah dan menawarkan idea terbaik untuk dinilai pengundi.
“Saya mengharapkan kempen yang baik, yang datang daripada hati. Kempen yang mesra warga, penuh dengan kasih sayang, rasa mahabbah…kerana kita menghidupkan demokrasi,” katanya ditemui selepas penamaan calon di Dewan Merdeka.
Sementara itu, calon Barisan Nasional Mohamad Yusri Bakir berjanji meneruskan legasi ditingalkan penyandang DUN berkenaan, Ishsam Shahruddin terutama soal pendidikan.
“Pendidikan akan menjadi teras utama dalam membangunkan masyarakat,” katanya memaklumkan kerjasama BN dan Pakatan Harapan dalam PRK Ayer kuning mampu memberi kemenangan kepada parti itu jika semua bekerja keras.
Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), KS Bawani pula berkata, PRK kali ini akan menjadi referendum rakyat menolak kerajaan hari ini yang didakwanya gagal menyelesaikan banyak isu rakyat.
“Saya rasa kebosanan, kemarahan rakyat perlu ditunjukkan dalam undi. Rakyat bising di luar kerana janji sebelum pilihan raya tidak dilaksanakan dan isu perkauman terlalu meningkat di negara kita,” dakwanya.
PRK DUN Ayer Kuning 26 April ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PN dan PSM. Ia diadakan susulan kematian Ishsam yang juga Adun Umno pada 22 Feb lalu.
Ishsam menang kerusi itu pada PRU lalu dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Terdapat 31,897 pengundi berdaftar di Ayer Kuning dengan pengundian awal ditetapkan pada 22 April.