Ayash sudah buka mata, bacaan oksigen Sarah meningkat

Ayash sudah buka mata, bacaan oksigen Sarah meningkat

Shuib memaklumkan bahawa bayinya, Ayash Affan kini berada dalam keadaan stabil dan bacaan paras oksigen isterinya menunjukkan perkembangan yang baik walau belum sedarkan diri.

Terdapat peningkatan pada bacaan paras oksigennya Siti Sarah yang kini masih belum sedarkan diri. (Gambar Instagram)

Pelawak dan ahli perniagaan Shuib memaklumkan mengenai perkembangan bayinya, Ayash Affan yang terpaksa dilahirkan secara pramatang tujuh bulan semalam, telah mula menunjukkan perkembangan positif.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37 memberitahu bahawa dia telah dimaklumkan oleh doktor bahawa anaknya yang berada dalam keadaan stabil apabila mula memberi isyarat pergerakan pada anggota badannya.

“Alhamdulillah sedikit perkembangan terkini Ayash Affan. Dr. Faiz dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memberitahu pagi ini, dia sudah buka mata, kaki sudah menendang-nendang, tangan bergerak aktif dan keadaannya stabil.

“Ya Allah syukur. Ini semua berkat doa daripada anda semua yang tidak henti-henti mendoakan kesihatan Ayash,” jelas Shuib menerusi hantaran terkini dalam InstaStorynya.

Namun begitu, isterinya, penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 37, masih belum sedarkan diri selepas ditidurkan bagi menjalani pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungannya sejak petang semalam.

Bagaimanapun keadaan Siti Sarah terdapat peningkatan apabila bacaan paras oksigennya menunjukkan perkembangan yang baik.

“Pukul 11 malam tadi bacaan oksigen turun sampai 40 tetapi pukul 2 pagi, alhamdulillah oksigen naik sampai 77 dan baru tadi doktor maklumkan, oksigen Sarah sudah 80,” ujarnya.

Shuib turut memohon doa orang ramai untuk isteri dan anaknya agar mereka diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan.

Terdahulu, Siti Sarah, terpaksa dikejarkan ke hospital pada Rabu kerana penurunan tahap oksigen dalam badannya dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sarah, Shuib dan tiga anak mereka disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka disahkan positif wabak itu.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumahtangga pada 2011 dan telah dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzakira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.