
Syarikat itu yang diwakili dua pengarahnya, Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 40, dan Koh Choon Guan, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali, lapor Sinar Harian.
Mengikut semua pertuduhan, mereka yang masing-masing berdepan enam tuduhan didakwa gagal membayar cukai itu bagi tempoh bercukai 1 Jan hingga 1 Nov 2023, sebagai mana ditetapkan bawah Seksyen 26(4) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bahagian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Jabatan Kastam, Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang antara 1 April 2023 dan 1 Feb 2024.
Shuib dan Koh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 26(8) akta itu, yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut Seksyen 26(10) serta Seksyen 69(1) akta sama, mereka turut dikehendaki membayar penalti berjumlah RM453,969.42, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam, Wan Abdul Rahim Wan Mahamood dan Nur Amalina Ahmad Nazeri manakala Shuib dan Koh diwakili peguam, Muhammad Firdaus Shaik Alauddin.
Wan Abdul Rahim mencadangkan setiap Shuib dan Koh diberi ikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan alasan, cukai yang belum dibayar adalah tinggi mencecah jutaan ringgit.
Bagaimanapun, peguam Shuib dan Koh berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes itu disiasat selain tiada keadaan mendesak sehingga memerlukan mahkamah menetapkan ikat jamin.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Shuib dan Koh diikat jamin RM4,000 bagi semua tuduhan dan menetapkan 18 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.