Syafie Naswip lelong trofi, ikhtiar bantu orang susah

Syafie Naswip lelong trofi, ikhtiar bantu orang susah

Bidaan RM10,000 atau lebih akan diagihkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Syafie ingin melelong trofi kemenangan di FFM 25 bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.
PETALING JAYA:
“Saya nak tolak (lelong) trofi kemenangan filem Songlap sewaktu menang Festival Filem Malaysia (FFM 25),”.

Demikian kata pelakon berbakat besar, Syafie Naswip dalam usaha menjana wang bagi membantu golongan kurang bernasib baik di luar sana.

Syafie, 28, menjelaskan ikhtiar melelong trofi itu dilakukan bukan untuk mencari populariti sebaliknya lebih kepada misi kemanusiaan.

“Saya tak ada harta lain nak kongsikan. Jadi, siapa yang boleh bida RM10,000 atau lebih, hasil kutipan itu kita akan bagi kepada orang yang lebih memerlukan. Jangan risau sumpah saya tak menipu, saya tak ambil duit itu pun.

“Di atas rezeki yang Tuhan berikan menerusi kemenangan pelbagai anugerah, inilah masa yang terbaik untuk saya kongsikan kepada anda semua. Jadi saya harap trofi ini dapat digunakan untuk membantu orang yang memerlukan.

“Saya memang sensitif sikit kalau bab kekeluargaan ini. Saya harap ramai yang akan menyokong,” ujarnya sambil mengesat air mata.

Aktor filem Talentime itu berkata demikian ketika mengadakan sesi secara langsung di akaun Instagramnya semalam.

Tambahnya lagi, rakyat tidak perlu menuding jari pada kerajaan, sebaliknya mencari jalan penyelesaian dan bersatu hati.

“Hentikanlah hasad dengki antara satu sama lain dan sebarkan kasih sayang serta teruskan positif,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.