Phua Chu Kang diharamkan memandu tiga bulan

Phua Chu Kang diharamkan memandu tiga bulan

Pelakon sitcom terkenal itu, Gurmit Singh dijatuhkan hukuman larangan memandu dan denda selepas mengaku bersalah memandu melebihi had laju ditetapkan.

Gurmit Singh berjanji akan menjadi pemandu lebih baik selepas ini.

Pelakon sitkom Phua Chu Kang, Gurmit Singh diharamkan memandu selama tiga bulan dan didenda $800 (RM2,488) selepas mengaku salah atas tuduhan memandu melebihi had laju bersama anak lelakinya, baru-baru ini.

Dia dengan nama sebenarnya Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, 56, membuat pengakuan itu atas dakwaan memandu dengan kelajuan 131 kilometer sejam (km/j) di laluan dengan had laju 70 km/j bersama anak lelaki berusia 19 tahun.

Hakim Daerah, Salina Ishak yang membuat keputusan itu pada Selasa lalu turut menegur tindakan pelakon terbabit yang membahayakan nyawa anaknya.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu pada jam 9.30 malam, 12 April lalu apabila memecut kenderaan di sepanjang Woodlands Avenue 12 menghala ke Lebuhraya Seletar, lapor Straits Times.

Dia dipercayai memandu kereta jenis Audi A8 L iaitu sebuah kereta mewah yang baru saja dikeluarkan untuk jualan.

Terdahulu, Gurmit memberitahu mahkamah bahawa dia mengesan bunyi pada kereta dan mahu anaknya mendengar bunyi berkenaan ketika dia memandu.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia tidak sedar bagaimana pemanduannya boleh mencecah sehingga kelajuan tinggi selain menjelaskan bahawa ia hanya berlaku sekali saja.

Selepas meninggalkan mahkamah, pelakon itu membuat hantaran video di akaun Instagram sambil berjanji dia akan menjadi seorang pemandu yang lebih baik.

Menerusi video berdurasi sembilan saat itu juga, dia turut meminta maaf kepada peminatnya dan berharap dapat menunjukkan contoh lebih baik selepas ini.

“Saya cuma ingin memberitahu, saya minta maaf dan saya harap akan menjadi lebih baik selepas ini,” katanya.

Hantaran itu menerima banyak mesej daripada netizen yang memberi sokongan kepada pelakon berkenaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.