
Kostum kebangsaan bertemakan ‘Kampung’ bakal menjadi taruhan buat Miss Universe Malaysia, Francisca Luhong James ke pertandingan akhir Miss Universe ke-69 di Hollywood, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 16 Mei depan.
Kostum seberat 45 kilogram itu dihasilkan oleh pereka tempatan, Carven Ong untuk menonjolkan identiti serta budaya tempatan berkisar suasana di kampung.
Elemen sebenar kampung di Malaysia itu diselitkan menerusi replika rumah kayu pada kostum kebangsaan tersebut.
Lebih unik lagi apabila kostum 3D itu turut didatangkan bersama replika ayam, pokok kelapa serta motif bunga kebangsaan, bunga raya yang dijahit pada pakaian itu.
Ketika memperagakan kostum itu di hadapan media, Francisa turut memakai patung di atas kepala yang menyerupai dirinya dan ia direka oleh Wesley Hilton.
Wesley yang ditemui berkata, dia amat berbesar hati dan begitu teruja apabila dapat memberi sumbangan terhadap kostum kebangsaan Miss Universe Malaysia.
“Ia adalah penghormatan besar buat saya untuk menjadi sebahagian daripada tenaga yang menyumbang untuk kostum kebangsaan Miss Universe Malaysia ini.
“Saya amat teruja apabila Organisasi Miss Universe Malaysia mendekati saya untuk tujuan ini,” katanya.
Patung ‘Francisca Doll’ berukuran 18 inci itu dikatakan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.
“Patung ini mengenakan pakaian berwarna jingga yang sama dengan rekaan Carven Ong dan ia menggambarkan pemandangan indah matahari terbenam.
“Pakaian pada patung ini juga dihiasi dengan manik dengan motif Sarawak,” kata Wesley.
Manakala satu lagi rekaan menampilkan sebuah rumah warna hitam putih dengan lakaran 2D untuk dipadankan dengan rekaan Ong yang lengkap dengan hiasan basikal di kepala.
Tahun lalu, Ong juga turut terbabit mereka kostum bertemakan Peranakan yang digayakan oleh Shweta Sekhon.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]