
Beliau berkata, kementerian akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai keadaan semasa dan keperluan ekosistem data negara, serta menetapkan dasar dan garis panduan tadbir urus data di peringkat kebangsaan.
Katanya, ini juga termasuk pembangunan pewujudan data supaya semua agensi kerajaan menggunakan format yang sama, menilai keupayaan infrastruktur dan kemahiran tenaga kerja berkaitan data, serta mereka bentuk seni bina dan platform teknologi yang akan digunakan bagi pembangunan data tersebut.
“Pendekatan ini akan membantu memastikan semua sistem kerajaan nanti dapat berkongsi data dengan lebih selamat dan berkesan, serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap cara maklumat kerajaan diuruskan,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Wilson berkata, beberapa protokol utama termasuk penggunaan data yang disahkan daripada sumber dipercayai dan pelaksanaan persetujuan eksplisit daripada pengguna akan dikuatkuasakan bagi memastikan integrasi antara Bank Data Kebangsaan dan MyGov selamat serta berkesan.
Beliau menjawab soalan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai tempoh akan diambil bagi membangunkan Bank Data Kebangsaan dan bila akan beroperasi sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Wilson berkata penyatuan data daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan menerusi pelaksanaan Bank Data Kebangsaan diyakini mampu meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan tanpa pengulangan maklumat oleh pengguna.
“Pada masa sama, bantuan kerajaan juga lebih bersasar berasaskan data yang tepat dan terkini, membolehkan kerajaan mengenal pasti penerima bantuan sebenar dan seterusnya mengurangkan ketirisan dan juga pertindihan bantuan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan akan meneliti kemungkinan menggunakan infrastruktur sedia ada seperti Pusat Data Sektor Awam (PDSA) dan MyGovNet bagi mengurangkan kos serta mengoptimumkan sumber.
“Manakala, aspek kawalan keselamatan data akan diberi keutamaan dan dilaksana selaras Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864),” katanya.