
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Shaharuddin Abu Sohot, berkata pihaknya sangat komited dalam mempromosi, memartabat serta melestarikan seni, budaya dan warisan negara dengan menyediakan bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan dan korporat melalui geran sokongan sektor kebudayaan serta geran sokongan sektor pelancongan.
Beliau berkata, Festival Citarasa Warisan @Pantai Timur antara inisiatif Motac ke arah itu terutama bagi makanan yang mendapat pengiktirafan sebagai warisan kebangsaan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
“Selain itu, festival ini mengetengahkan makanan warisan yang hampir pupus seperti itik solor, kerabu beko, nasi 100, ros lidah dan apam bakar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian festival itu di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi yang disempurnakan Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra.
Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata festival itu bukan sahaja menggembirakan pengunjung malah memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dengan meningkatkan pendapatan peniaga dan menyokong industri makanan warisan.
“Festival ini membawakan lebih 150 juadah makanan warisan dari 10 daerah di Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Kelantan dan Majlis Kraf Malaysia.
“Penganjuran program seperti ini bukan sahaja dapat memperkenal makanan warisan negeri hingga ke akar umbi tetapi ia turut memberi pulangan pendapatan kepada komuniti Kelantan,” katanya.