Kostum Destiny’s Child akan dilelong

Kostum Destiny’s Child akan dilelong

Lebih 100 kostum pernah dipakai anggota kumpulan itu akan dilelong Jun ini.

Kostum yang pernah dipakai oleh Destiny’s Child yang akan dilelong. (Gambar Reuters)

Kostum persembahan yang pernah dipakai oleh kumpulan pop Destiny’s Child ketika di kemuncak kerjaya mereka akan dilelong pada Jun ini bersama beberapa gaun milik Lady Gaga, Whitney Houston dan Cher.

Syarikat lelongan Julien berkata, ia akan melelong lebih 100 kostum milik anggota kumpulan itu, Beyonce, Kelly Rowland dan Michelle Williams yang dipakai sekitar lewat 1990an dan awal 2000, lapor Reuters.

Pakaian itu termasuk kostum kulit berwarna emas dipakai oleh penyanyi lagu ‘Survivor’ itu ketika melakukan persembahan tribute untuk Diana Ross di VH1 pada 2000.

Selain itu, terdapat kostum trio berwarna merah metalik ala futuristik dan kostum kulit berwarna perak yang digayakan mereka dalam video muzik ‘Independent Women Part 1’ yang menjadi lagu tema filem ‘Charlie’s Angels’ pada 2000.

“Ketiga-tiga pakaian ini sangat ikonik dan melambangkan lagu mereka yang penting,” kata pengarah eksekutif Julien Auctions, Martin Nolan.

Sejumlah kostum yang kebanyakan direka oleh ibu Beyonce, Tina Knowles Lawson itu dianggarkan bakal dilelong antara AS$600 (RM2,487) dan AS$10,000 (RM41,460) dalam acara tiga hari di Beverly Hills, California bermula 11 hingga 13 Jun nanti.

Menurut syarikat itu lagi, pakaian berkenaan didermakan oleh ahli keluarga Destiny’s Child selepas beberapa tahun tersimpan di dalam stor mereka.

Sebahagian daripada hasil jualan itu akan disumbangkan kepada MusiCares, iaitu sebuah badan kebajikan di bawah Recording Academy yang membantu pemuzik terjejas akibat pandemik Covid-19.

Destiny’s Child adalah salah satu kumpulan wanita paling berpengaruh ketika awal 2000, sebelum berpecah pada 2006 dan Beyonce kemudiannya melancarkan kerjayanya sebagai penyanyi solo.

Beberapa barangan lain yang akan dilelong nanti termasuk gaun warna emas Atelier Versace yang dipakai penyanyi Whitney Houston ketika mengadakan persembahan di Paris pada Julai 1998 dianggarkan bernilai AS$20,000 (RM82,920 hingga AS$30,000 (RM124,381).

Turut dilelong, jaket motosikal dan sut badan jaring dipakai Cher dalam video muzik ‘If I Could Turn Back Time’.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.