
Penyanyi Country Blake Shelton dan tunangnya, Gwen Stefani memberi bayangan bahawa mereka akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Shelton yang berusia 44 tahun mengesahkan perkara itu dalam program bual bicara ‘Today Show’ yang dihoskan oleh Hoda Kotb namun, memberitahu perancangan itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali akibat pandemik Covid-19.
“Mungkin saya dan dia perlu menunggu hingga November nanti. Kemudian saya akan kembali ke udara bersama ‘The Voice’. Saya benar-benar ingin memastikan mempunyai banyak masa sebelum dan selepas ini, diharapkan musim panas ini nanti.
“Kita masih berdepan dengan Covid, keadaannya mungkin lebih baik tetapi saya tidak pasti, jadi itu adalah rancangannya,” katanya yang juga jurulatih dalam program realiti The Voice itu.
Kotb mengajukan pertanyaan mengenai perkahwinannya selepas bekas jurulatih bersama, Miley Cyrus dan Adam Levine menawarkan diri mereka untuk membuat persembahan di hari istimewanya itu.
“Penyanyi terkenal ini memberitahu mereka akan melakukannya. Saya berharap begitu. Saya amat berbesar hati untuk menerima tawaran mereka dan mengadakan sebuah konsert perkahwinan yang hebat.
“Namun, kami juga seperti orang lain yang hanya menunggu bagaimana keadaan musim panas nanti,” katanya.
Sebelum ini, menerusi satu rancangan di radio, The Morning Mash Up, Levine yang juga vokalis Marroon 5 menyebut mengenai rancangannya untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan Shelton.
Pemuzik itu berkata, dia berbesar hati untuk melakukannya selain menyayangi pasangan itu dan sering menghantar mesej kepada mereka.
Pada masa sama, Shelton dan Stefani turut menerima tawaran sama daripada penyanyi, Miley Cyrus menerusi satu hantaran di Twitter.
“@gwenstefani @blakeshelton, saya akan menjadi penyanyi kamu di majlis perkahwinan nanti!”. Saya janji akan berkelakuan baik atau lebih teruk. Apa saja yang kamu mahu! Ia adalah hari istimewa kamu!,” tulisnya pada Januari lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]