
Hakim Evrol Mariette Peters memutuskan, walaupun suami berkenaan membeli alat mainan seks berkenaan, tiada bukti bahawa ia bertujuan untuk diberikan kepada wanita didakwa kekasihnya, yang turut dinamakan sebagai responden dalam prosiding berkenaan. Ia juga bukan bukti ada hubungan seksual antara mereka, katanya.
“Zina, sepertimana diiktiraf dalam jurisprudens perkahwinan, memerlukan bukti hubungan seksual sukarela antara individu yang telah berkahwin dengan seseorang yang bukan suami atau isteri mereka.
“Perbuatan itu mesti melibatkan keintiman fizikal yang memenuhi definisi perundangan; sekadar perbuatan tidak senonoh, sindiran seksual atau pemberian hadiah intim tidak mencapai nilai ambang ini,” katanya dalam penghakiman 44 muka surat yang dikeluarkan bulan lalu.
Peters yang kini hakim Mahkamah Rayuan berkata, bukti zina mesti menjangkaui sekadar syak wasangka.
“Sekalipun mahkamah menerima bahawa responden (suami) membeli alat mainan seks itu untuk responden kedua dakwaan itu masih gagal membuktikan bahawa responden mengadakan perbuatan fizikal seksual bersama wanita itu,” kata hakim berkenaan.
Peters turut menolak dakwaan si isteri bahawa tindakan suaminya pernah mengadakan hubungan sulit pada 2010 dengan wanita lain dikenali sebagai JL yang dikenalinya di gim, menunjukkan corak tingkah laku zina.
“Walaupun fakta mengenai hubungan zina antara responden dan JL tidak dipertikaikan, ia masih bukti yang hanya menunjukkan kecenderungan.
“Mengikut undang-undang, bukti seperti itu secara umumnya tidak boleh diterima,” katanya.
“Untuk bergantung pada kejadian terdahulu dalam keadaan ini membangkitkan risiko prejudis tidak adil terhadap responden, dan menjejaskan keperluan asas untuk setiap kes hanya diputuskan berdasarkan fakta dan meritnya.”
Peters turut mengambil maklum bahawa hubungan terdahulu berlaku ‘kira-kira sedekad sebelum keruntuhan rumahtangga berkenaan’.
“Dakwaan zina 10 tahun lalu dengan JL tidak membolehkan mahkamah mencapai kesimpulan bahawa responden telah melakukan zina dengan responden kedua dalam kes ini,” katanya.
Si isteri menuntut supaya perkahwinannya selama 22 tahun dibubarkan, selain hak penjagaan anak dan pembahagian aset perkahwinan. Si suami pula memfailkan petisyen balas untuk perceraian dan hak penjagaan bersama.
Peters mengisytiharkan perceraian berkuat kuasa segera, dengan memutuskan kedua-dua pihak sama-sama bertanggungjawab atas keruntuhan perkahwinan berkenaan.
“Nyata pempetisyen (si isteri) menunjukkan kecenderungan sebagai kaki kawal dan bergelut dengan rasa kurang keyakinan diri yang mendalam. Malah disebabkan rasa kekurangan diri beliau menjalani pembedahan membesarkan payudara dan ‘abdominoplasty’ dalam usaha menaikkan imej dirinya.
“Apabila prosedur berkenaan tidak membuahkan hasil dikehendaki, beliau menyalahkan responden. Responden menjadi sasaran kekecewaannya dan berfungsi tidak ubah sebagai tempat melampiaskan emosi.”
Selain itu, Peters mendapati si suami ‘memburukkan dan menguatkan rasa rendah diri pempetisyen’ menerusi perlakuannya dan hubungan sulit terdahulu, seterusnya menyumbang ke arah keruntuhan hubungan perkahwinan berkenaan.
“Responden bukannya memberi sokongan atau kata-kata semangat, sebaliknya kerap menjauhkan diri daripada pempetisyen dan lebih memilih menghabiskan masa dengan kawan-kawan termasuk responden kedua.”
Suami berkenaan diarahkan membayar nafkah anak, manakala pembahagian aset perkahwinan diarahkan dengan cara supaya hanya rumah kediaman suami isteri itu dibahagikan secara saksama antara pihak-pihak.
Pasangan itu yang tidak didedahkan identiti dalam penghakiman berkenaan, berkahwin pada 2003 dan mempunyai dua anak perempuan berusia 21 dan 15 tahun.