7 sajian antara kegemaran Tan Sri P Ramlee

7 sajian antara kegemaran Tan Sri P Ramlee

P Ramlee merupakan seseorang yang sangat merendah diri dan pemilihan makanan kegemarannya juga menggambarkan sifat sederhana beliau.

Allahyarham Tan Sri P Ramlee, seniman yang sentiasa dekat di dalam hati masyarakat Malaysia. (Gambar Facebook)

Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih ataupun lebih mesra dengan panggilan P Ramlee merupakan seniman yang tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia, Singapura dan seluruh dunia.

Dengan bakat sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan penulis lagu, beliau telah mengangkat arena perfileman Malaysia ke peringkat antarabangsa. Sehingga kini, ramai yang terkesan dengan mesej-mesej yang disampaikan menerusi karya filem beliau.

Selamat Hari Lahir P Ramlee!

Pada tanggal 22 Mac 1929, lahirlah seorang seniman agung Malaysia. Jadi, sempena ulang tahun kelahiran P Ramlee, Butterkicap mengambil kesempatan untuk berkongsi 7 jenis sajian antara yang menjadi kegemaran beliau.

1. Puyuh Goreng Kunyit

Walaupun burung puyuh kurang diminati ramai namun, ia dikatakan mempunyai banyak khasiat seperti mencegah dan mengurangkan risiko penyakit jantung serta strok, menurunkan tekanan darah tinggi, meningkatkan jisim otot dan menguatkan tulang.

Patutlah P Ramlee cukup sukakan daging puyuh!

Burung puyuh boleh dimasak pelbagai cara. Namun, P Ramlee lebih sukakan burung puyuh dimasak kunyit. Penyediaan sajian ini mudah dan memerlukan sedikit bahan sahaja.

2. Ikan Keli Berlada

P. Ramlee merupakan seseorang yang sangat merendah diri dan bersikap sederhana meskipun beliau terkenal. Sajian kegemaran kedua P. Ramlee menggambarkan personaliti beliau ini.

P Ramlee gemar ikan keli berlada. Rasa ikan keli yang berlemak dan sedikit pedas sememangnya membangkitkan selera sesiapa saja.

3. Pucuk Paku Masak Lemak

Masyarakat Melayu sememangnya sangat menggemari masakan lemak tetapi tiada yang dapat menandingi masak lemak pucuk paku.

Pucuk paku masak lemak merupakan antara sajian kegemaran P Ramlee kerana lauk tersebut begitu ringkas tetapi cukup kaya dengan rasa.

4. Bubur Pulut Hitam

Pada zaman dahulu, pencuci mulut ataupun manisan bukanlah suatu kemewahan seperti sekarang. Pencuci mulut tradisional, lazimnya adalah sangat berkhasiat dan dinikmati sebagai minum petang.

Salah satu pencuci mulut kegemaran P Ramlee pada ketika itu ialah bubur pulut hitam.

Bubur pulut hitam merupakan suatu hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada pulut hitam dan santan kelapa. Rasa bubur yang lemak dan tidak terlalu manis memang cukup sesuai untuk dijadikan sebagai penutup selepas menikmati hidangan yang berat.

5. Kari Ikan Bawal Berbendi

Sebagai seseorang yang dilahirkan di Pulau Pinang, semestinya P Ramlee membesar dengan sajian berkari seperti kari ikan.

Kari ikan ini merupakan satu variasi kari yang merupakan gabungan masakan gulai Melayu dan juga kari India. Lazimnya, kari ikan ini dimakan dengan nasi panas ataupun roti, khususnya apabila kuah kari ini memekat.

6. Ikan Kering Masin

Sajian ini merupakan makanan kegemaran P Ramlee kerana rasa ikan kering masin dan nasi panas memang sudah cukup untuk menaikkan selera makan anda. Dalam sekelip mata, anda akan habis tiga hingga empat pinggan.

Satu perkara tentang ikan kering masin ialah anda boleh menikmati ikan tersebut begitu sahaja ataupun dengan menjadikan dalam bentuk gulai.

7. Cekodok Pisang

Perkara menarik tentang cekodok pisang ialah sajian ini sesuai dinikmati pada bila-bila masa, baik sebagai snek ataupun minum petang.

Oleh sebab cekodok pisang ini begitu mudah untuk disediakan dan menyelerakan, pastinya hidangan tersebut dinikmati oleh semua termasuklah seniman agung P Ramlee.

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com

Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.