
Selepas kakak, penyanyi Mariah Carey kini berdepan saman dari abangnya pula berhubung sebuah buku ‘The Meaning of Mariah Carey’ kerana isi kandungan yang bersifat fitnah dan memberi tekanan emosi.
Reuters melaporkan, Morgan Carey mahu menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan dalam saman difailkan di Manhattan, New York itu termasuk membabitkan kandungan menyatakan dia bersikap ganas.
Saman itu difailkan selepas sebulan kakaknya, Alison melakukan perkara sama dengan menuntut USD 1.25 juta (RM5.06 juta) kerana mendakwa mengalami tekanan emosi akibat penerbitan buku itu pada September lalu.
Jurucakap penyanyi terbabit bagaimana pun tidak memberi maklum balas terhadap perkara itu manakala peguam abangnya juga enggan mengulas lanjut.
Mariah Carey, 51, terkenal dengan lagu seperti ‘Vision of Love, ‘One Sweet Day’ dan ‘All I Want for Christmas Is You’.
Buku itu menceritakan mengenai kisahnya yang membesar dalam keadaan miskin dan masalah yang dihadapi ketika awal kerjaya.
Morgan berkata, Mariah merosakkan reputasinya apabila mendakwa berlakunya ‘pergaduhan ganas’ dengan bapa ketika penyanyi terbabit masih kecil dan ‘seramai 12 anggota polis terpaksa meleraikan pergaduhan itu’.
Menurutnya, pergaduhan itu tidak wujud dan kejadian itu rekaan apabila hanya seorang atau dua anggota polis saja yang bertindak atas laporan kes terbabit.
Morgan turut menyaman berhubung dakwaan bahawa dia cuba memeras wang Mariah dan sering bergaul dengan ‘orang-orang tidak baik dalam industri’ dan pernah menjadi penjenayah.
Defendan lain termasuk penulis bersama buku terbabit, penerbitnya, Macmillan dan cetakan buku Andy Cohen Books yang dinamakan sebagi penerbit dan pengacara ‘Watch What Happens Live with Andy Cohen’.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]