
Kumpulan duo terkenal dari Perancis, Daft Punk mengumumkan berpecah selepas hampir tiga dekad bersama, kata jurucakap mereka yang mengesahkan perkara itu kepada CNN semalam.
Menurut Kathryn Frazier, laporan mengatakan kumpulan itu akan bersara adalah benar namun mereka tidak menyatakan punca sebenar punca perpecahan.
Kumpulan yang pernah menggondol Anugerah Grammy itu terkenal dengan vokal yang diubah menerusi komputer sambil memakai helmet robot di tempat awam dalam semua video muzik mereka.
Kumpulan terbabit baru saja berkongsi video simbolik berjudul “Epilogue” di You Tube.
Filem berdurasi lapan minit itu menunjukkan duo berkenaan, Thomas Bangalter dan Guy-Manuel de Homem-Christo dilihat berjalan di padang pasir sambil memakai helmet ikonik serta jaket kulit.
Salah seorang menanggalkan jaket sambil menunjukkan alat peledak bom pada belakangnya, manakala seorang lagi menekan butang dan berjalan meninggalkan rakannya sebelum meletup.
Daft Punk yang ditubuhkan di Paris pada 1993 diangkat sebagai kumpulan yang membawa muzik berentak “underground house Perancis”.
Mereka dianggap sebagai salah satu kumpulan muzik elektronik berpengaruh sepanjang zaman dengan lagu hits termasuk ‘Da Funk’, ‘One More Time’ dan ‘Around the World’.
Pada 2010, mereka muncul dalam filem sains fiksyen ‘Tron Legacy’ dan selepas itu pada 2013 pula memenangi kategori Lagu Terbaik dan Persembahan Pop Duo/Berkumpulan di Anugerah Grammy dengan lagu single berentak retro-disko, ‘Get Lucky’ yang menampilkan Pharrell Williams dan Nile Rodgers.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]