Strategi BN Sabah ‘tunggu’ selepas PRN mungkin makan diri, kata penganalisis

Strategi BN Sabah ‘tunggu’ selepas PRN mungkin makan diri, kata penganalisis

Bilcher Bala berkata pengundi mungkin cenderung pilih gabungan kuat dibentuk sebelum PRN berbanding bentuk kerajaan dengan parti lain selepas pilihan raya.

barisan nasional bn flag
BN Sabah sasar menang 27 kerusi dan kemungkinan jalin kerjasama dengan parti lain untuk mendapat majoriti mudah 37 kerusi bagi bentuk kerajaan negeri.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kemungkinan Barisan Nasional (BN) Sabah bertanding hanya 38 kerusi dan membentuk pakatan dengan parti lain selepas PRN berisiko memakan diri, kata penganalisis.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata keadaan itu boleh berlaku disebabkan pengundi mungkin cenderung mengundi gabungan atau parti kuat dan stabil tanpa memerlukan ‘talian hayat’ pihak lain.

Katanya, keadaan itu memberi risiko kepada BN untuk menghadapi masalah ketidakpercayaan daripada pengundi jika tidak dapat mempamerkan kekuatan maksimum sebelum PRN, berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menampilkan parti tempatan.

GRS juga cenderung bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) susulan ada laporan sejumlah besar daripada 26 bahagian PKR Sabah menyokong Ketua Menteri Hajiji Noor terus mengetuai kerajaan negeri sehingga PRN akan datang.

“Pengundi mungkin melihat ini sebagai tanda kelemahan dan ketidakstabilan,” kata Bilcher mengulas laporan FMT semalam yang BN Sabah dijangka bertanding 38 daripada 73 DUN dengan kemungkinan membentuk pakatan baharu selepas PRN.

Memetik laporan sumber, komponen itu menyasarkan menang sekurang-kurangnya 27 DUN yang akan ditambah dengan kemenangan parti atau gabungan lain bagi mendapat majoriti mudah 37 kerusi untuk membentuk kerajaan Sabah.

Sumber itu turut memaklumkan jika perkara itu menjadi realiti, ia akan mengukuhkan tuntutannya bagi jawatan ketua menteri dalam rundingan selepas PRN.

Kesan pergolakan Umno Sabah

Mengulas lanjut, Bilcher berkata Umno Sabah yang dilihat berpuak di antara kem menyokong Ketuanya Bung Moktar Radin dan timbalannya, Rahman Dahlan mungkin boleh melemahkan kekuatan parti, malah sasaran 27 kerusi mungkin hanya menjadi ‘angan-angan’.

Romzi Ationg juga dari UMS turut sangsi dengan keyakinan BN menawan 27 DUN, merujuk sentimen tempatan ketika ini yang tidak ‘begitu memihak kepada Umno’.

“Untuk menang sehingga 27 kerusi agak sukar, mungkin dalam belasan itu boleh kerana sentimen di lapangan ketika ini Umno bermasalah,” katanya yang melihat pengaruh Umno sedikit merudum apabila kepimpinannya di Sabah dilihat ‘masih bergolak’.

“BN kena kerja keras,” katanya sambil berpandangan parti itu perlu mengambil peluang menarik undi atas pagar dan pengundi muda dengan memberikan alternatif penyelesaian masalah kemudahan asas seperti air, jalan raya dan elektrik.

“Masalah air dan elektrik yang sering terganggu menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran Hajiji, ini memungkinkan Umno mendapat kelebihan dengan menambah sedikit kerusi.”

Lee Kuok Tiung pula berkata perbezaan kenyataan membabitkan pimpinan Sabah terutama membabitkan Bung Moktar dan Rahman seolah-olah menunjukkan ada perpecahan dalam Umno Sabah.

“Apakah ada tanda-tanda ada dua kem yang berlainan? Umno Sabah sebenarnya telah pun berpecah selepas Shafie Apdal keluar (pada 2016) untuk tubuhkan Warisan.

“Keadaan bertambah buruk apabila sebahagian besar keluar Umno untuk menyertai Bersatu dan kemudianya tubuh Parti Gagasan Rakyat Sabah,” kata penganalisis dari UMS itu.

Mengulas kemungkinan MCA tidak diberikan kerusi berbanding empat DUN pada PRN lepas, Romzi berkata parti itu dijangka akur dengan strategi itu.

“Tidak masuk akal MCA bertanding sebab mereka bukan ada pengikut kuat di Sabah,” katanya mengulas kemungkinan BN hanya diwakili Umno dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Namun, Bilcher pula berpandangan ketiadaan kerusi untuk MCA mungkin mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbinya sekali gus membawa unsur sabotaj kepada calon BN.

“Bagaimanapun, jika Umno Sabah dan PBRS berjaya menguruskan isu ini dengan baik dan memastikan sokongan padu dari semua komponen BN, kesan negatif boleh diminimumkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.