Umno tak boleh berpecah lagi, kata Johari

Umno tak boleh berpecah lagi, kata Johari

Naib presiden Umno itu menyeru pemimpin dan ahli merapatkan barisan serta memperkukuhkan parti.

Johari Ghani menegaskan Umno bukan milik pemimpin tertentu, tetapi 3.5 juta ahlinya.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno, Johari Ghani menyeru pemimpin dan ahli parti merapatkan barisan kerana Barisan Nasional (BN) tidak lagi mampu berpecah.

“Ada kluster mahkamah, ada kluster Putrajaya atau kluster PWTC. Kita sudah nampak kesannya, apabila ada pelbagai kluster di antara kita,” katanya merujuk prestasi buruk Umno pada PRU15 yang hanya menang 26 kerusi Parlimen.

Johari berkata, “tidak logik” untuk parti sebesar Umno hilang kerusi kepada parti lebih kecil.

“Ini kerana (kita) berdepan isu-isu dalam parti itu sendiri,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Umno milik 3.5 juta ahlinya, bukan pemimpinnya.

“Kita tidak boleh ada pemimpin-pemimpin Umno yang ‘membalun’ antara satu sama lain secara terbuka. Ia menggambarkan Umno sebuah parti sentiasa bergolak.”

Apabila pemimpin diserang, katanya, penyokong mereka akan marah, ini akhirnya menjejaskan parti dan perkara seperti ini perlu dielakkan.

“Kita perlu kekal bersatu dan menjaga satu sama lain. Mari kita selesaikan sebarang rasa tidak puas hati dalam Majlis Kerja Tertinggi atau Biro Politik parti.”

Beliau menyeru semua perbalahan dihentikan supaya parti boleh berusaha ke arah mendapatkan kembali sokongan orang ramai dan kerusi yang hilang.

Johari berkata, ahli perlu menyahut seruan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi untuk “maafkan, lupakan dan bina semula Umno”.

“Pemilihan parti sudah berakhir. Tiba masanya untuk bersatu semula di bawah kepimpinan sekarang.

“Setiap pemimpin parti ada kekuatan masing-masing. Untuk berjaya, kita perlu ketepikan ego dan gabung kekuatan kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.