Eric Nam cerita pengalaman dibuli, cuba ubah persepsi masyarakat tentang kesihatan mental

Eric Nam cerita pengalaman dibuli, cuba ubah persepsi masyarakat tentang kesihatan mental

Penyanyi Korea-Amerika ini mahu masyarakat terutamanya warga Korea Selatan mengubah persepsi mengenai kesihatan mental.

Eric Nam dan Jae dalam rancangan Mindset. (Gambar YouTube)

Penyanyi dan penulis lagu Eric Nam atau nama sebenarnya Nam Yoon Do mengaku dia pernah merasa sakit dada apabila menghadiri satu temu janji di New York beberapa tahun dulu.

Menurut penyanyi Korea Selatan ini, waktu itu dia hanya terfikir untuk menghubungi talian kecemasan 911 tetapi kemudian dia mengambil keputusan untuk terus berdiam dan bernafas perlahan-lahan, lapor Channel News Asia.

Perkara tersebut juga pernah berlaku kepada Park Jae Hyung, yang lebih dikenal sebagai Jae dari kumpulan Day6 semasa dia berada di dalam teksi. Jae mengaku dia merasakan seperti diserang sakit jantung.

Malah, kata Jae dia mengalami rasa tidak selesa seperti itu selama bertahun-tahun sehingga membuatkan dia merasa akan mati.

Hingga akhirnya dia membuat pemeriksaan dan mendapati dirinya didiagnosis dengan serangan panik.

Sebenarnya, ramai artis yang mengalami perkara sama akibat tekanan.

Di Korea Selatan, membicarakan masalah kesihatan mental adalah dilarang sehingga ramai bintang K-pop terpaksa memendam masalah depresi dan penyakit mental mereka.

Cuba untuk mengubah persepsi ini, Eric dan Jae bergabung dengan artis berdarah Korea-Amerika lain untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental di luar komuniti K-pop dengan berkongsi pengalaman mereka kepada orang ramai.

Eric berpindah dari kampung halamannya, Atlanta, ke Seoul pada 2011 dan meneruskan kariernya di bidang muzik setelah memasuki satu pertandingan di televisyen Korea.

Semasa melanjutkan pelajaran di Boston College, dia selalu dibuli oleh rakan-rakannya sehingga ia memberi kesan yang amat mendalam pada dirinya.

“Saya pernah diludah oleh rakan sekelas. Itu adalah salah satu saat paling memalukan dalam hidup saya,” ujar Eric pada episod pertama Mindset, rancangan yang membincangkan mengenai mental dan kesihatan.

Eric turut mengaku dia terpaksa berhadapan dengan krisis identiti sebagai orang Korea-Amerika, yang diperlakukan sebagai orang luar di Korea Selatan dan AS.

“Rasanya saya tidak sesuai berada di mana pun,” ujarnya.

Sedangkan Jae, yang lahir dan besar di California, mengaku sukar untuk mempelajari dua budaya yang sangat berbeza. Persaingan hebat dalam industri muzik juga mempengaruhi kesihatan mentalnya.

Eric berharap rancangan Mindset tersebut dapat mengatasi persepsi dan stigma mengenai penyakit mental.

“Saya tidak pernah berfikir yang saya perlukannya. Saya memang perlu meluahkan kepada seseorang tentang kesihatan mental saya,” tegas Eric.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.