‘Terima kasih Allah kerana kurniakan dia kepada saya,’ – Edika Yusof

‘Terima kasih Allah kerana kurniakan dia kepada saya,’ – Edika Yusof

Upacara ulang tahun perkahwinan disambut cukup sederhana. Edika sendiri telah berkongsi detik istimewa itu di Instagram miliknya dengan menitipkan ucapan romantik buat isterinya.

Ruangan komen posting berkenaan dibanjiri dengan ucapan ulang tahun perkahwinan dari rakan-rakan artis dan warganet selain memuji kecekalan dan kesetiaan Edika. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Pelakon dan model popular Edika Yusof, 54 dan isteri, Norhidayah Yusri, 43, baru saja menyambut ulang tahun perkahwinan ke-18 mereka.

Upacaranya cukup sederhana, mereka meraikan dengan sebiji kek dan Edika sendiri telah berkongsi detik istimewa itu di Instagram miliknya dengan menitipkan ucapan romantik buat isterinya.

“Saya suami yang paling bertuah punya kamu di sisi. Seorang isteri seperti kamu adalah suatu anugerah yang hebat. Terima kasih Allah kerana mengurniakan dia kepada saya. Selamat ulang tahun isteriku,” tulisnya.

Ruangan komen posting berkenaan dibanjiri dengan ucapan ulang tahun perkahwinan dari rakan-rakan artis dan warganet selain memuji kecekalan dan kesetiaan Edika yang tidak mampu dilakukan oleh semua lelaki.

Sememangnya, semangat dan pengorbanan Edika menjaga isterinya yang lumpuh sering mendapat pujian ramai.

Edika sanggup berkorban untuk menjaga isterinya yang menghidap meningitis sehingga lumpuh selama 16 tahun.

“Saya setia menjaga Isteri. Sebagai suami saya cuba menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Tanggungjawab adalah perkara utama dan keduanya disebabkan perasaan cinta dan kasih sayang.

“Saya bersyukur Allah panjangkan jodoh kami dan juga Allah berikan kami kekuatan dalam mengharungi dugaan ini,” katanya.

Menurutnya, biarpun keadaan isterinya yang lumpuh dari dada hingga hujung kaki, mereka sekeluarga cuba untuk menjalani kehidupan senormal yang mungkin.

“Walaupun dengan lumpuh separuh badan, isteri saya mencuba apa yang terbaik dia boleh lakukan. Anak-anak juga banyak membantu,” katanya.

Edika yang pernah popular menerusi filem Maria Mariana mengambil keputusan mengurangkan aktiviti seni untuk menjaga isterinya, Norhidayah.

Dia lebih banyak menghabiskan masa menjaga isterinya disamping mengusahakan perniagaan seni reka grafik.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, 21, Fardeen Nasrulhaq, 17, dan Fereena Nurulhaq, 16.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.