
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata sebuah kenderaan dipandu dua lelaki ditahan sekitar Subang Jaya pada 7.20 pagi 27 Mac lalu.
Beliau berkata, empat guni mengandungi 100 bungkusan plastik berisi methamphetamine ditemui di kerusi depan.
“Pemeriksaan di but kereta pula menemui dua guni mengandungi 50 bungkusan methamphetamine dengan berat keseluruhan 156kg,” katanya menurut Harian Metro.
Menurutnya, dua individu berusia 21 dan 33 tahun yang ditahan kemudian membawa polis menyerbu sebuah inap desa di Subang Jaya, di mana 12 guni mengandungi 300 bungkusan plastik berisi methamphetamine ditemui.
Mat Zani berkata, suspek turut memandu arah polis ke sebuah gudang di Taman Bukit Permai, Ampang pada hari sama, di mana dua guni mengandungi 50 bungkusan plastik berisi methamphetamine ditemui.
Katanya, semua dadah dirampas itu dianggarkan seberat 519kg dan bernilai RM16.6 juta.
“Kita percaya modus operandi sindiket ini adalah menjadikan rumah inap desa sebagai stor penyimpanan dadah, sebelum diedar untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya sambil menambah rumah inap desa itu disewa RM195 semalam sejak 26 Mac lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang membawa dadah dari negara jiran itu aktif sejak September 2024 dan polis sedang mengenal pasti dalang sindiket terbabit.
Menurutnya, dua individu itu berperanan sebagai transporter sindiket berkenaan yang dibayar RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap penghantaran. Mereka direman selama 11 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1959.