Tinggalkan Hot FM, Shuib mahu fokus bisnes & keluarga

Tinggalkan Hot FM, Shuib mahu fokus bisnes & keluarga

Menurut Shuib, dia sudah lama memikirkan mengenai perkara ini sehingga nekad dengan keputusannya.

Shuib mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizie di Hot FM. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Selepas dua tahun berkhidmat di Hot FM, Shuib Sepahtu, 37, mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari stesen radio tersebut.

Pelawak dan penyampai radio itu mengumumkan berita tersebut apabila bersiaran di segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizie.

Menurut Shuib, dia sudah lama memikirkan mengenai perkara ini sehingga nekad dengan keputusannya.

“Hari ini adalah kali terakhir saya bersiaran bersama Hot FM. Keputusan ini adalah kerana saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan yang dijalankan.

“Memang berat hati dan terlalu sedih untuk tinggalkan Hot FM. Saya ambil masa tiga bulan untuk membuat keputusan ini. Saya juga tidak mahu susahkan pihak Hot FM pada masa depan,” ujarnya.

Malah, dengan perniagaan yang semakin berkembang, dia mahu terus fokus terhadap masa yang diberikan kepada perniagaannya kelak.

Shuib turut menafikan dilamar stesen radio lain.

“Tidak. Saya bukan dapat tawaran stesen lain. Saya mahu majukan perniagaan dan juga fokus pada keluarga terutama anak-anak yang semakin membesar,” katanya.

Menurut Shuib, dia akan turut memperlahankan kerjaya seninya sepanjang tahun ini dan tahun hadapan namun, masih aktif menerusi media sosial dan dalam proses mengukuhkan saluran YouTube untuk berkongsi perkembangan terbaharunya.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad memulakan kerjaya bersama Hot FM pada Februari 2019 dengan mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizie dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.