
Dr Choong Sim Poey daripada Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia berkata, saiz isi rumah yang mengecil dan penyusutan populasi kini meluas di kebanyakan negara dengan keluaran dalam negera kasar (KDNK) yang meningkat serta taraf hidup bertambah baik.
“Pada masa lalu, keluarga besar wujud kerana kekurangan kontraseptif dan sebagai jaminan penjagaan orang tua. Namun, kesenangan hidup mengubah keutamaan.
“Kini, orang muda mahu hidup bebas beban, dan orang tua boleh dijaga dengan sempurna di pusat atau rumah persaraan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, penghijrahan keluar bakat negara yang semakin kritikal juga mendorong keputusan pasangan untuk tidak menambah cahaya mata berikutan kebimbangan mengenai prospek masa depan mereka.
“Ramai ibu bapa bukan Bumiputera berfikir jauh tentang pendidikan tinggi sebelum merancang untuk mendapatkan anak tambahan,” katanya.
Minggu lalu, Jabatan Perangkaan melaporkan Malaysia merekodkan bilangan kelahiran hidup terendah sejak 1980 dengan 414,918 kelahiran pada 2024, iaitu menurun 9% berbanding 455,761 kelahiran tahun sebelumnya.
Penurunan itu turut menyebabkan kadar kelahiran kasar (CBR) merosot daripada 13.6 kelahiran pada 2023 kepada 12.2 bagi setiap 1,000 penduduk pada 2024.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi Universiti Putra Malaysia Dr Nurul Iftida Basri pula berkata tekanan kos sara hidup tinggi mungkin menyebabkan ramai pasangan memilih tidak mempunyai atau hanya mahu satu hingga dua orang anak sahaja.
Katanya, penurunan itu juga didorong kelewatan berkahwin terutama apabila kebanyakan golongan wanita lebih cenderung untuk belajar dan ‘mencari karier’ terlebih dahulu sebelum berkeluarga.
“Akses pada kaedah perancang keluarga yang lebih mudah berbanding sebelum ini, dan masalah ketidaksuburan akibat aktiviti merokok dan sebagainya juga antara faktor mempengaruhi kadar kelahiran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan menaikkan potongan cukai sedia ada untuk rawatan kesuburan sebagai langkah intervensi penurunan kadar kelahiran.
“Kerjasama boleh dijalin dengan pusat kesuburan swasta bagi membolehkan lebih ramai pasangan mendapatkan rawatan, memandangkan rawatan di fasiliti kerajaan adalah terhad,” katanya.