
Artis lagenda Jane Fonda begitu mengambil berat tentang penampilan tubuhnya. Walau sibuk dengan pelbagai aktiviti, dia sentiasa memastikan rutin penjagaan kulit hariannya diikuti.
Jane turut mengakui, pandemik Covid-19 menjadikan dia tidak lagi melakukan rawatan wajah lengkap namun dia tidak pernah meninggalkan krim pelembab.
“Jika sendirian di rumah, saya tidak peduli dengan wajah dan tidak melakukan apa pun. Tapi saya selalu memakai pelembap. Saya harus menjaga wajah agar tetap lembap walau tidak memakai sebarang solekan apabila berada di rumah,” ujarnya.
Jane yang lahir pada 21 Disember 1937 ini berkata, dia sesekali akan tampil di hadapan kamera iaitu apabila mewawancara untuk siri Instagram “Fire Drill Fridays” atau mengikuti acara via Zoom.
Maka, kerana itulah rawatan kulit tambahan amat penting buatnya. Malah, Jane juga sedar apabila berada terlalu lama di hadapan komputer akan membuat kulit wajahnya rosak.
Kata Jane, selepas mencuci solekan, dia akan menggunakan masker “blue-light”. Dia memilih masker wajah blue-light dari Uncle Bud’s yang diwakilinya sebagai duta kecantikan.
Namun, Jane yang telah serasi dengan produk ini berkata bahawa dia akan tetap memakai produk dengan kandungan rami ini walaupun sudah tidak menjadi duta lagi.
Selain masker “blue-light”, Jane turut memakai “Hemp Roll-On Pain Relief”, juga dari Uncle Bud’s untuk mengatasi rasa sakit pada tubuh.
“Saya menggunakan produk tersebut ketika mengalami kesakitan otot. Biasanya, saya akan memakainya selepas berolahraga atau ketika bangun dari tidur,” ujarnya.
Walaupun dalam keadaan pandemik, Jane masih mengamalkan rutin berolahraga tiga kali seminggu bersama jurulatihnya.
Namun, Jane yang mempunyai masalah radang sendi, mengatakan bahawa dia perlu memilih latihan yang tepat dan sesuai dengan kondisinya.
“Saya harus melakukan sesuatu dengan sangat lambat dan berhati-hati. Inilah alasannya saya memiliki jurulatih. Dia akan memastikan saya melakukan olahraga dalam posisi yang betul dan tepat,” kata Jane.
Bukan hanya kulit wajah, Jane turut mengambil berat tentang rambutnya. Dia memang membiarkan rambutnya beruban, namun akan menjaganya dengan baik.
“Saya memiliki penata rambut yang sering membuatkan saya kelihatan sangat muda dan cantik,” tambah Jane lagi.
Seperti wanita lain, sebelum keluar dari rumah, Jane akan bersolek bagi memastikan penampilannya sentiasa cantik dan anggun.
Lagenda yang telah memenangi Academy Award dua kali ini, sebenarnya memiliki cara khusus untuk merias wajah.
Jane mengatakan, dia selalu menyesuaikan solekan seiring usianya.
Di usianya sekarang, dia faham jika kulit matanya mulai berubah dan mempunyai lingkaran hitam.
Kondisi itu membuatkan Jane sering menumpukan solekan pada mata untuk menyamarkan lingkaran hitam tersebut.
“Saya juga memakai pembayang mata hitam “blush on” dan memakai maskara,” katanya lagi.
Begitu juga bibir, Jane menyedari usia akan mengubah kondisi bibirnya. Oleh itu, dia ada cara tersendiri untuk solekan pada bibir.
“Seiring bertambahnya usia, garis bibir menjadi kurang jelas. Jadi saya menggunakan pensil bibir sebelum memakai lipstik. Kadang-kala warnanya merah cerah, kadang-kala warnanya pucat,” ujar Jane.
Bagi Jane, usia dan aktiviti bukanlah penghalang untuk wanita kekal cantik dan menawan. Buktinya, dalam usia yang akan menjangkau 83 tahun tidak lama lagi dia tetap kelihatan glamor dan penampilan tubuhnya kekal menawan walaupun sudah berusia.
“Setiap orang harus tahu bahawa walaupun sibuk dan aktif tidak bermakna dia tidak boleh kelihatan cantik dan menawan serta usia bukan penghalang,” ujar Jane.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]