
Dalam kenyataan PMO berkata, akta itu akan mewujudkan parameter serta garis panduan jelas bagi memberi akses kepada orang awam untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.
“Selaras dengan keputusan tersebut, Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) juga akan dipinda sewajarnya,” katanya.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN), sebelum ini dikenali sebagai Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) hari ini.
Menurut kenyataan itu, kerajaan juga bersetuju menggubal Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memperkasa tata kelola perolehan kerajaan secara perundangan bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pihak terlibat dalam perolehan.
“Mesyuarat juga bersetuju supaya prinsip ketelusan diambil kira dalam RUU Perolehan Kerajaan yang bakal digubal dengan mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.
PMO berkata, mesyuarat juga mengambil maklum tentang 18 resolusi hasil daripada dua sesi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan 2023 yang mengemukakan syor penambahbaikan daripada sudut perundangan dan dasar berkaitan tata kelola, integriti serta antirasuah.
“Resolusi ini akan diteliti untuk dijadikan input dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang baharu.
“Bagi memastikan anak syarikat ditubuhkan bawah badan berkanun ditadbir lebih profesional berlandaskan prinsip tata kelola baik, aspek pengawasan perlu diberi perhatian.
“Mesyuarat bersetuju supaya rangka kerja perundangan sedia ada dan baharu diteliti ke arah pengamalan tata kelola baik dalam kalangan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan,” katanya.
Katanya, kerajaan akan terus melaksanakan usaha pemerkasaan tata kelola baik bagi menyokong pembangunan negara selaras hasrat membangunkan Malaysia Madani.