Dakwaan campur tangan kehakiman disiasat bawah OSA

Dakwaan campur tangan kehakiman disiasat bawah OSA

Sumber mendedahkan kertas siasatan dikembalikan kepada polis kerana Jabatan Peguam Negara mendapati ia tidak lengkap.

gavel
Bulan lalu FMT melaporkan berlaku pertikaman lidah dalam mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berhubung dakwaan campur tangan pelantikan hakim. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Siasatan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sedang dijalankan berhubung dakwaan campur tangan kehakiman, dedah sumber.

Sumber enggan dinamakan berkata, siasatan polis sudah selesai namun kertas siasatan dikembalikan kepada mereka.

“Jabatan Peguam Negara mendapati siasatan itu tidak lengkap dan mengarahkan polis mengumpul bukti serta merakamkan keterangan,” katanya.

Sumber berkata, setakat ini polis telah menemu bual beberapa individu dari sebuah portal berita, ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), serta pegawai berkhidmat bawah beberapa hakim.

Bulan lalu, FMT melaporkan seorang hakim kanan dipanggil JAC untuk menjawab dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim yang berlaku sejak tahun lalu.

Sumber beritahu FMT, berlaku pertikaman lidah dalam mesyuarat JAC, dengan ahli dilaporkan berpecah kepada dua kumpulan iaitu satu menyokong hakim terbabit manakala satu lagi mahu tindakan tegas diambil terhadapnya.

Susulan itu, seorang pegawai kepada hakim terbabit membuat laporan polis terhadap wartawan dari sebuah portal berita yang meminta ulasan hakim tersebut berhubung dakwaan campur tangan.

Pegawai itu berkata, laporan dibuat untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat bagaimana maklumat sedemikian boleh dibocorkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.