Alif Satar sudah sembuh, seru tidak pulaukan pesakit Covid-19

Alif Satar sudah sembuh, seru tidak pulaukan pesakit Covid-19

Alif Satar yang kini disahkan bebas Covid-19, menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak mengasing dan memandang serong terhadap pesakit Covid-19.

Alif Satar sudah bebas Covid-19. (Gambar Instagram)

Kuala Lumpur: Selepas 12 hari dikuarantin dan menjalani rawatan di Hospital Melaka, Alif Satar kini disahkan bebas Covid-19.

Penyanyi dan pelakon popular ini dibenarkan keluar dari hospital kelmarin. Alif kini kembali sihat dan sedang bersama isteri, anak-anak dan keluarganya.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi atas segala nikmat, rezeki, kesihatan dan kebahagiaan yang dikurniakan.

“Terima kasih saya ucapkan dan penghargaan buat semua pihak terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produksi Muzik Muzik TV3, JS Pictures dan semua rakan industri yang prihatin atas segala yang berlaku dan bertindak pantas, mengambil tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil ujian saringan sejurus selepas saya disahkan positif Covid-19.

Alif turut terharu menerima mesej-mesej semangat dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Semua yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Keluarga saya turut menerima sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga. Terima kasih saya ucapkan atas bantuan semua,” ujarnya lagi.

Alif turut berpesan agar tidak mengasing dan memandang serong terhadap pesakit Covid-19. Dia juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghidupkan cogan kata ‘Kita Jaga Kita’ dengan sepenuh jiwa, bukan sahaja untuk membendung virus ini tetapi melalui kerjasama komuniti dalam melawan pandemik Covid-19.

“Hentikan stigma negatif, memulau, mengasingkan dan memandang serong kepada mereka yang terkesan dengan wabak ini. Tiada siapa yang minta untuk dijangkiti. Budaya negatif ini bukanlah ciri-ciri yang baik sebagai rakyat Malaysia terutama sekali buat kita yang beragama Islam, agama yang menitik beratkan sifat kasih dan sayang bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah tetapi juga sesama manusia. Berkasihanilah sesama manusia. Layan mereka sebagaimana anda ingin dilayan,” katanya.

Selepas berjauhan dengan isteri dan anak-anak, Alif kini mengambil beberapa hari untuk meluangkan masa bersama seluruh ahli keluarga sebelum kembali bekerja seperti biasa.

“Saya menyeru semua untuk menjaga kesihatan sekeluarga di samping mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan supaya kita dapat menewaskan wabak ini bersama-sama. Sama-sama kita doakan semua pesakit Covid-19 yang masih dirawat di hospital atau pun yang menjalani kuarantin di rumah cepat sembuh dan boleh balik ke rumah masing-masing untuk bersama keluarga,” katanya.

Alif turut mengucapkan terima kasih buat semua barisan hadapan Malaysia terutama di Hospital Melaka, Hospital Sungai Buloh, saudara-mara, sahabat-sahabat dan rakan wartawan yang selalu menelefon bertanya khabar dan berdoa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.