
Katanya, industri animasi negara kini semakin berkembang dan mencipta ribuan peluang pekerjaan, malah ada produk air tangan bakat tempatan ini ‘terbang’ jauh ke Jepun, seperti filem Mechamato Movie.
Mechamato Movie terbitan syarikat Monsta Studio memecah rekod ‘box office’ apabila berjaya mengutip RM30.75 juta selepas 22 hari ditayangkan di pawagam dalam negara pada 2022.
Filem itu berjaya mengatasi kutipan filem animasi gergasi Hollywood lain termasuk Minions 2: The Rise of Gru, Big Hero 6, Incredibles 2, Kung Fu Panda 2 dan How To Train Your Dragon: The Hidden World.
“Industri animasi kita sangat kukuh. Kita banyak bakat, banyak kisah yang baik untuk disampaikan, bukan Durioo+ sahaja tapi dari syarikat lain seperti Monsta Studio (Boboiboy, Mechamato), Wow, Les’ Copaque Production (Upin Ipin), Digital Durian (Didi & Friends, Omar & Hana) dan banyak lagi,” katanya kepada FMT.
Pencipta siri animasi Upin Ipin, Burhanuddin Md Radzi sebelum ini memberitahu FMT, produknya berjaya menembusi pasaran India selain ditayangkan menerusi Netflix di United Kingdom dan Australia, serta disiarkan lima jam sehari di Indonesia.
Sinan berkata, Durioo+ kini mempunyai langganan di 99 negara dan angkanya semakin meningkat.
Lebih membanggakan, kata Sinan, siri animasi Robozeta ditayangkan di Durioo+ semakin popular dalam kalangan kanak-kanak di luar negara, meskipun menggunakan Bahasa Melayu.

“Ada maklum balas ibu bapa daripada Amerika Syarikat dan Dubai bahawa anak-anak mereka gemar menonton Robozeta tapi animasi itu hanya dalam Bahasa Melayu,” ujarnya yang kini mempunyai 85 pekerja berbanding 40 orang pada awal penubuhannya, dua tahun lalu.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu yakin industri animasi di negara ini mempunyai masa depan yang cerah dengan memberikan contoh Durioo+, kini mempunyai 35 harta intelek dalam hanya dua tahun.

Katanya, Durioo+ turut membantu menaikkan industri kreatif negara apabila turut menayangkan beberapa produk syarikat tempatan dalam platform penstriman itu.
“Kita juga bawa IP (harta intelek) dan animasi syarikat lain ke luar negara. Kita bangga menyumbang pada ekosistem kreatif Malaysia,” katanya yang juga pencipta siri animasi terkenal, Didi & Friends serta Omar & Hana, sebelum memulakan platform penstiman Durioo+.
Pada Mac lalu, Durioo+ memperkenalkan animasi yang menggabungkan ajaran Islam dengan genre fiksyen sains dan aksi bertajuk ILM: Kebangkitan Khalifah, menampilkan artis terkenal, Alif Satar sebagai seorang daripada watak suara dalam siri itu.