Ustaz Kazim jadi penyanyi, dari gurauan jadi kenyataan

Ustaz Kazim jadi penyanyi, dari gurauan jadi kenyataan

Ustaz Kazim berharap Salawat 1442 dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda agar sentiasa bersikap positif dalam menempuh kehidupan.

Ustaz Kasim mahu golongan muda mendalami maksud di sebalik sambutan Maulidur Rasul. (Gambar Youtube)

Jika menyampaikan ceramah, sering juga dia selitkan dengan nyanyian serangkap dua dari lagu-lagu P. Ramlee, memang merdu suara Datuk Ustaz Kazim Elias. Tetapi kali ini dia benar-benar menjadi salah seorang penyumbang suara untuk lagu Salawat 1442 yang diterbitkan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Pertama kali mengambil bahagian dalam proses rakaman lagu, Ustaz Kazim berharap Salawat 1442 dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda agar sentiasa bersikap positif dalam menempuh kehidupan.

“Mulanya saya berjumpa dengan Norman untuk pembangunan sekolah yang dia nak buat, lepas tu saja bergurau minta dia buat satu lagu, tak sangka dia buat betul-betul.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan hargai kepercayaan diberikan oleh Datuk Norman Abdul Halim untuk merakamkan sebuah lagu bersempena Maulidul Rasul bersama dua penyanyi rap, Tuju dan Tyco,” katanya yang mengaku gemuruh apabila pertama kali merakamkan lagu di studio.

Menurut Ustaz Kazim, elemen rap diselitkan dalam lagu itu bertujuan menarik minat golongan anak muda untuk mendalami maksud di sebalik sambutan Maulidur Rasul.

Salawat 1442 dihasilkan oleh Imaan Music, sebuah label muzik berteraskan lagu-lagu Islamik kontemporari.

Karya itu muncul selepas lima tahun syarikat berkenaan menyepi. Selain Ustaz Kazim, lagu tersebut menggabungkan nama-nama besar lain dalam genre rap iaitu Tuju dari kumpulan K-Clique serta kumpulan muzik maya ditubuhkan KRU, Tyco.

Salawat 1442 bertujuan membawa kelainan dalam muzik dakwah dengan konsepnya disifatkan sebagai santai

Sementara itu Datuk Norman Abdul Halim selaku ketua pegawai eksekutif Imaan Music pula berkata, pada awalnya Ustaz Kazim meletakkan syarat sebelum setuju menjalinkan kerjasama berkenaan.

Ustaz Kazim mahu Norman menyanyi bersama-sama dengannya dalam lagu berkenaan. Bagaimanapun, syarat tersebut terpaksa ditolak dengan baik oleh Norman yang kemudian mencadangkan agar penceramah bebas itu menjalinkan kerjasama dengan artis hip hop yang popular ketika ini.

Mengulas pemilihan Ustaz Kazim, Norman berkata, tokoh terbabit dipilih kerana kebiasaannya menyanyikan beberapa rangkap lagu sebagai selingan dalam ceramahnya.

“Ustaz Kazim juga mempunyai personaliti mudah mesra selain amat terbuka dengan konsep kerjasama sebegini,” kata Norman.

Menurut Tuju pula, pembikinan lirik lagu rap yang dinyanyikannya itu adalah sesuatu yang belum pernah dibuat dalam mana-mana karya sebelum ini. Melalui Salawat 1442, dia dapat meluahkan perasaannya dengan lebih jelas sekaligus berkongsi cerita perjalanan hidupnya dari dulu hingga kini dalam usaha menjadi insan yang lebih baik.

“Saya memang sukakan sesuatu perkara yang baru dan mencabar. Dalam banyak-banyak penglibatan saya menghasilkan muzik, ini adalah kali pertama saya memberanikan diri untuk tampil bukan hanya dalam muzik, malahan dalam kehidupan sebenar.

“Terima kasih Imaan Music kerana memberi peluang dan ruang untuk saya berkarya dalam lagu ini. Diharapkan mesej yang saya cuba untuk sampaikan dalam Salawat 1442 dapat difahami dan diterima oleh semua,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.