
Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G Naidu yang senada dengan pandangan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata media berperanan sebagai “penghubung” antara pihak berkuasa dan orang ramai.
Beliau berkata, soalan diajukan kepada menteri merupakan peluang libat urus dengan masyarakat dan memberi akses kepada maklumat berhubung isu penting.
“Menjawab secara profesional dapat mengurangkan sebarang spekulasi dan membendung penyebaran maklumat salah serta palsu.
“Mewujudkan suasana bermusuhan akan melebarkan jurang kepercayaan dengan menteri dan kerajaan yang sedang menggalakkan keterbukaan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Fahmi mempersoalkan cara Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjawab soalan wartawan pada sidang media Khamis lalu.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata, pendirian kerajaan ialah wartawan mempunyai hak bertanya soalan sebagai sebahagian tanggungjawab mereka kepada orang ramai dan “setiap jawapan mesti dijawab dengan sopan serta terbuka”.
Nga dikecam kerana menegur seorang wartawan Utusan Malaysia pada program prapelancaran projek “I Lite U” di Kuala Lumpur selepas beliau ditanya mengapa nama projek itu dalam bahasa Inggeris, bukannya bahasa Melayu.
Menteri DAP itu kemudian memberitahu wartawan terbabit, beliau akan menghubungi ketua pengarangnya berhubung soalan diajukan kerana ia membabitkan ‘kepentingan nasional’.
Naidu berkata, tindakan Nga “tidak beretika, tidak profesional dan mencemarkan kredibiliti institusi kerajaan kita”.
Menurutnya, menteri yang mewujudkan suasana bermusuhan akan menghalang media daripada bertanya soalan kerana bimbang dengan akibatnya.
“Ia mewujudkan kesan membimbangkan kepada media kerana mereka akan mula menapis sendiri atau tidak bertanya soalan penting yang menyebabkan orang ramai tiada akses kepada jawapan menteri,” katanya sambil menambah Nga perlu memohon maaf atas caranya menjawab soalan itu.
Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI turut bersetuju dengan Fahmi, menteri perlu menjawab soalan secara profesional dan sopan, berdasarkan pengalamannya sendiri.
Katanya, Nga sepatutnya membangkitkan isu profesionalisme dengan pengarang secara tertutup tanpa menyebutnya dalam sidang akhbar.
Beliau turut menggesa Nga memohon maaf sambil mengimbau pengalamannya disoal secara tidak profesional oleh sebuah stesen radio terkemuka.
“Dalam situasi itu, saya kembali kepada pengalaman saya dalam bidang akademik, menjelaskan soalan dan menjawabnya. Tetapi selepas temu bual, saya menghubungi penerbit dan menyuarakan kebimbangan saya. Perkara itu tamat di situ,” katanya ketika dihubungi.
Namun, Tajuddin berpendapat cara soalan itu diajukan mungkin mendorong respons sedemikian daripada Nga dan bersikap sopan ketika bertanya soalan “sangat penting bagi ahli politik”.