
Siapa pernah tonton channel YouTube milik Mary Anni atau lebih popular dengan panggilan puan Mary, seorang guru imej popular di sosial media?
Malah, sering menjadi rujukan utama oleh individu dan organisasi yang mahu mendalami ilmu tentang imej dan fesyen.
SoCantik tertarik dengan perkongsian terbaharu puan Mary di channel YouTube popular miliknya yang dikenali sebagai glowwe.
Menerusi video yang baharu sahaja dimuat naik sekitar minggu lalu, puan Mary berkongsi kerisauannya tentang standard kecantikan kulit yang wujud sejak akhir-akhir ini.
Siapa pernah dengar tentang ‘Glass Skin?’ Dalam video tersebut puan Mary menegaskan agar tidak menjadikan ‘Glass Skin’ sebagai skin goals!
Glass Skin

Glass Skin adalah definisi kepada kulit halus, mulus, licin dan bersinar-sinar yang diumpakan seperti glass atau cermin.
Ramai wanita di luar sana mendambakan wajah yang licin, bebas pori dan ditambah pula dengan kulit yang tampak bercahaya atau bersinar-sinar.
Menurut puan Mary, keadaan kulit yang didambakan itu langsung tidak menggambarkan keadaan kulit yang sihat.
Malah, ia mustahil untuk dimiliki. Lebih membimbangkan lagi, ia bukanlah standard kecantikan yang sihat.
“Jika zaman dahulu, patung Barbie disifatkan memiliki standard fizikal yang sempurna. Mujur ada kesedaran dan kempen yang mula memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa patung Barbie tersebut tidak wajar dijadikan sebagai ukuran atau standard kecantikan individu.
“Anda tak perlu takut untuk memiliki kulit bertekstur, pori, tona yang tidak sekata atau jerawat kerana ia normal,” ujar puan Mary.
Kewujudan pori-pori pada wajah adalah normal. Ia memiliki fungsinya yang tersendiri. Malah saiz pori-pori sama ada besar atau kecil ditentukan oleh faktor genetik.
“Saya risau jika ada yang sedang mencari jalan untuk menghapuskan pori-pori, mereka akan terjerumus menggunakan produk-produk kosmetik yang tidak sepatutnya. Ini boleh merosakkan kulit dan lapisan pelindung kulit individu,” jelas puan Mary lagi.
‘Glass Skin’ juga mustahil untuk dimiliki kerana kulit manusia memang memiliki tekstur yang terhasil daripada satu lapisan paling atas yang dipanggil Stratum Corneum dan ia mengandungi Natural Moisturizing Factor (NMF).
Malah, ia bertindak sebagai lapisan pelindung kulit yang melindungi kulit daripada bendasing, virus dan bakteria yang tidak baik untuk kulit.
Jadi, kepada individu yang terlalu mendambakan ‘Glass Skin,’ kebarangkalian untuk mereka pengelupaskan (exfoliate) kulit secara berlebihan boleh berlaku. Ini boleh mendatangkan kesan yang tidak baik kepada kesihatan kulit.
Puan Mary turut menekankan bahawa, sel kulit yang terdapat pada kulit manusia juga memiliki fungsi yang tersendiri.
“Jangan hapuskan sel kulit mati secara berlebihan, ia boleh mengundang masalah kepada kulit.
“Anda boleh menghapuskan sel kulit mati, tapi lakukan pada bahagian pemukaan kulit saja. Sewajarnya ia dilakukan dua hingga tiga kali seminggu. Don’t over exfoliate!” tegas puan Mary.
Reaksi kulit

Reaksi kulit pada setiap individu adalah normal kerana pelindungan yang kita dapat daripada rutin penggunaan produk kecantikan bukanlah 100%.
Contohnya, jika anda telah mengamalkan rutin pemakaian produk pelindungan matahari setiap hari, namun tetap memiliki masalah tona kulit tidak sekata. Ia adalah reaksi normal untuk kulit sesetengah individu.
Contoh lain pula apabila anda mengalami masalah jerawat selepas menggunakan sesuatu produk. Itu juga reaksi kulit normal. Ia sebenarnya sebagai isyarat supaya anda melakukan sesuatu bagi menangani masalah tersebut.
Ini menunjukkan bahawa kulit berkomunikasi dengan pemiliknya. Kulit perlu dijaga dengan lembut dan sederhana.
Puan Mary mengharapkan agar individu di luar sana tidak taksub dalam menjaga kulit sehingga meletakkan sasaran yang mustahil untuk dicapai. Jadi, jangan sesekali meletakkan glass skin sebagai sasaran kulit yang sihat!
“Tekstur kulit, pori-pori wajah, perbezaan tona kulit, sedikit sebanyak jerawat atau sel kulit mati yang terdapat pada kulit adalah sesuatu yang normal. Jangan sesekali membenci kulit sendiri sebaliknya, sayangilah kulit kita. Tidak perlu jadikan kulit sebagai glass atau seperti cermin kerana kulit adalah kulit!
Anda boleh layari untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
SoCantik.my adalah sebuah portal berita kecantikan sosial diilhamkan untuk berkongsi pelbagai informasi serta berita terkini tentang dunia kecantikan, gaya hidup dan fesyen lokal mahupun antarabangsa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]