Tiada ‘krisis’ kurang doktor di HKL, kata kementerian

Tiada ‘krisis’ kurang doktor di HKL, kata kementerian

Ia susulan memo dalaman pengurusan tertinggi HKL berhubung krisis kekurangan pegawai perubatan yang bertukar keluar, pada 18 Jul.

Kementerian Kesihatan berkata pihaknya telah merancang pertukaran masuk pegawai perubatan dari negeri lain ke HKL dan HTA, pada tarikh sama, bagi menggantikan pegawai perubatan yang bertukar keluar.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan akan melaksanakan penyelarasan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) selaras pertukaran keluar pegawai perubatan dari kedua-dua hospital itu.

Ia susulan memo dalaman daripada pengurusan tertinggi HKL berhubung “krisis” kekurangan pegawai perubatan yang bertukar keluar, pada 18 Jul.

Dalam kenyataan, pihak kementerian berkata, surat dikeluarkan pengurusan berkenaan bertujuan melaksanakan “penyelarasan dalaman” bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan khususnya di Jabatan Kecemasan HTA terus berjalan lancar.

Kata kementerian itu, pihaknya telah merancang pertukaran masuk pegawai perubatan dari negeri lain ke HKL dan HTA, pada tarikh sama, bagi menggantikan pegawai perubatan yang bertukar keluar.

Katanya, urusan pertukaran adalah prosedur biasa.

“Sehubungan itu, isu berlaku krisis kekurangan pegawai perubatan di HKL dan HTA adalah tidak berbangkit,” katanya.

Dalam memo dalaman, pada 30 Jun, Timbalan Pengarah (Perubatan) HKL, Dr Marina Abdullah Sani, memanggil semua pegawai perubatan menghadiri mesyuarat yang dikatakan berhubung kekurangan doktor.

Katanya, mesyuarat itu dilangsungkan di auditorium utama HKL untuk membincangkan penyelesaian bagi menangani kekurangan yang berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.