
Beliau yang juga senator mewakili OKU berkata, pengiktirafan kerajaan akan membuka minda golongan terbabit bahawa mereka juga boleh melakukan apa sahaja untuk berjaya seperti orang normal.
“Pada saya tentu sekali golongan OKU diberi pengiktirafan. Ini kerana pencapaian seperti pendaki solo negara, T Ravichandran yang juga merupakan OKU membuka minda OKU.
“Tentu sekali Ravichandran boleh dijadikan macam idola supaya beliau dapat berkongsi pengalaman dia sendiri dengan OKU,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Aidilfitri, Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ravichandran merupakan alumni UPM. Pada 12 Mei, beliau berjaya menakluk puncak Everest untuk kali ketiga selepas melakukannya pada 2006 dan 2007.
Ravichandran berkata, pendakian kali ketiga menyajikan pengalaman berbeza dan mencabar kepada dirinya kerana perlu membawa bersama dua pendaki lain berusia 40 dan 64 tahun ke puncak tertinggi dunia itu.
Ravichandran sebelum ini berkata, beliau kehilangan lapan jari akibat radang dingin (frostbite) pada misi pendakian keduanya dahulu.
Dalam pada itu, Ras berkata, sebenarnya ramai OKU yang ingin naik ke puncak Everest, tetapi tidak mengetahui cara mendakinya.
Katanya, dengan kejayaan seperti Ravichandran boleh membuka lembaran baharu untuk OKU menanam azam untuk mendaki gunung Everest pada masa akan datang.
“Mungkin dengan Ravichandran boleh jelaskan (cara untuk naik Everest). Macam ada orang pekak juga ada naik (gunung Everest). Jadi saya rasa akan buka lembaran baharu pada sahabat kita,” katanya.