
Presiden Persatuan Pusat Beli Belah Malaysia Teo Chiang Kok berkata walaupun pendapatan untuk pusat membeli-belah tahun ini memuaskan, namun perniagaan yang banyak bergantung kepada pelancong itu masih mengalami kekurangan bilangan pengunjung.
“Walaupun Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Singapura sudah beroperasi, pengembara tidak datang ke bandar dan cenderung terlepas daripada menyinggahi pusat beli-belah,” katanya kepada FMT. “Tetapi kami menantikan sempadan dibuka mulai 1 April untuk keadaan bertambah baik.”
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Taman Tema Chan Hoi Choy berkata fasa peralihan memberi isyarat psikologi bahawa ekonomi negara berada di landasan yang betul.
Chan berkata kebanyakan perniagaan telah pulih dengan baik daripada wabak itu, terutama yang mengendalikan makanan dan minuman, fesyen, kesihatan dan kecantikan, serta rumah dan kehidupan.
“Yang paling bergelut adalah mereka yang menjual barangan berkaitan perjalanan seperti pakaian perjalanan dan bagasi, jadi perniagaan mereka akan menerima rangsangan dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.”
Statistik kerajaan menunjukkan bahawa perdagangan runcit meningkat sebanyak 7.3% pada Januari berbanding setahun yang lalu, tetapi pertumbuhan itu terjejas akibat impak varian Omicron.