
Lipstik atau lipmatte dijual dengan harga serendah RM2, tidakkah terasa pelik dengan harga serendah itu tidak akan meninggalkan apa-apa kesan negatif terhadap bibir?
Buktinya, baru-baru ini seorang pengguna Twitter menyiarkan ciapan mengenai kesan buruk yang berlaku pada rakannya sendiri selepas memakai lipmatte dipercayai diimport dari negara luar.
Menerusi gambar ciapan yang dikongsi, didapati bibir mangsa mula merekah dan menjadi terlalu kering hingga berdarah dan menjadi gelap dan berkudis.
Bukan itu saja, ciapannya itu memberi pelbagai reaksi dan ramai berkongsi mengalami masalah sama selepas menggunakan produk yang dijual di platform e-dagang.

Malah, produk itu didakwa sering kali dijadikan ‘free gift’ oleh penjual produk online kerana harga yang terlalu murah hingga boleh mencecah 33 sen sebatang ketika promosi jualan berlangsung.
Dalam ciapan wanita itu, dia mendakwa bibir rakannya menerima kesan buruk selepas menggunakan lipstik jenama yang popular di platform e-dagang kerana harga yang terlalu murah.
“Anda mesti tahu lipstik jenama P**** kan? Orang selalu bagi tindak balas baik kerana ia memang murah. Saya pun beli 4 sebab nak ikut tren.
“Tapi, tengoklah apa yang terjadi pada rakan saya. Inilah reaksi dari lipstik jenama itu kepada bibirnya,” ciap wanita tersebut.

“Ya, saya pernah cuba sebab dapat ‘free gift’ masa beli barang. Bila pakai, bibir jadi panas, makin dibiar makin panas jadinya. Kemudian saya cepat-cepat cuci dan bibir saya jadi kering dan terkoyak sampai berdarah.
“Kepada peniaga sekalian, kalau nak bagi ‘free gift’ pastikan ia selamat walaupun murah,” komen pengguna twitter lain pula.
Pengguna kongsi kesan buruk pada bibir
Ramai pengguna turut berkongsi masalah yang sama dan menunjukkan keadaan bibir mereka selepas menggunakan produk berkenaan.
Rata-rata pengguna juga mengakui meragui keselamatan barang kosmetik yang terlalu murah dan tidak akan terjebak membelinya kerana takut.
Segelintir pengguna tidak mengalami kesan buruk

Bagaimanapun, terdapat sesetengah pengguna yang mendakwa produk itu langsung tidak memberi kesan buruk kepada mereka dan mempertahankan mungkin sesetengah bahan dalam lipstik tidak sesuai untuk bibir yang sensitif.
Ada juga yang menggalakkan agar melakukan swatch atau calitan terlebih dulu di lengan sebelum menggunakan sebarang produk mekap di wajah untuk mengenal pasti kemungkinan reaksi pada kulit.
Kesimpulan
Bagaimana, ada tak yang berani nak mencuba? Paling penting kita semua seharusnya berwaspada dengan apa saja produk yang hendak diletakkan pada kulit dan anggota wajah.
Produk yang begitu mudah didapati termasuk di pasar malam, kiosk di pasar raya atau bazar dan lebih membimbangkan apabila pembelian turut boleh dilakukan begitu mudah secara dalam talian.
Tidak kurang juga ramai terpedaya dengan testimoni pengguna bagi sesetengah produk yang dimuatkan di laman sosial hingga menarik mereka untuk membeli produk terbabit, tanpa memeriksa kesahihan pengakuan berkenaan.
Apa-apa pun tepuk dada, tanya selera. Kalau dah beri kesan buruk pada tubuh, nak menyesal pun tak berguna lagi.
SoCantik.my adalah sebuah portal berita kecantikan sosial diilhamkan untuk berkongsi pelbagai informasi serta berita terkini tentang dunia kecantikan, gaya hidup dan fesyen lokal mahupun antarabangsa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]