Durian Rahmah RM5 di Shah Alam

Durian Rahmah RM5 di Shah Alam

Pengusaha gerai Durians Atok, Khairul Fahmy Md Yasin, berkata konsep Menu Rahmah seharusnya tidak dikecilkan hanya kepada makanan dan minuman harian.

Pengusaha gerai Durians Atok, Khairul Fahmy Md Yasin, berkata Durian Rahmah diperkenalkan di gerainya sejak minggu lalu dijual dengan harga RM4.99 bagi 300 hingga 400g sebekas. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Konsep Menu Rahmah diperkenal kerajaan baru-baru ini dengan menetapkan sesuatu menu pada harga RM5 dan ke bawah mendapat sambutan menggalakkan termasuk seorang peniaga durian yang menjual raja buah itu pada harga RM4.99 sebekas.

Pengusaha gerai Durians Atok, Khairul Fahmy Md Yasin, 45, berkata konsep Menu Rahmah seharusnya tidak dikecilkan hanya kepada makanan dan minuman harian dan pengusaha produk lain sewajarnya turut terlibat bagi memasarkan produk mereka untuk dinikmati semua golongan khususnya B40.

“Inisiatif ini baik kerana peniaga lain boleh turut menurunkan harga barangan selain makanan harian yang mungkin tidak mudah untuk diperoleh. Disamping itu, peniaga dapat bantu dan turut bersedekah kepada mereka yang tidak mampu,” katanya.

Katanya, Durian Rahmah yang diperkenalkan di gerainya sejak minggu lalu berjaya menarik pembeli sehingga dari selatan tanah air untuk merasai keenakan raja buah di gerainya dengan harga murah iaitu RM4.99 bagi 300 hingga 400g sebekas.

Khairul tidak menyangka konsep itu membuatkan gerainya diserbu peminat durian sejak minggu lepas.

“Hari pertama saya jual RM4.99, durian sebanyak 50 bekas terjual dalam 10 minit sahaja. Saya pun terkejut. Sebelum ini saya jual RM8 ke RM9 bagi satu bekas.

“Jadi saya teruskan tambah kerana permintaan memang tinggi sehingga ada mereka yang dari Skudai, Johor datang membeli. Semalam, 600 bekas Durian Rahmah ini terjual dan kita mungkin tambah kuantiti jika permintaan meningkat,” katanya.

Khairul berkata, dalam satu bekas itu akan dicampur isi duriannya antaranya durian kampung dan D24.

Mereka yang berminat boleh membeli dengan mengunjungi gerainya kerana buat masa ini dia tidak menerima sebarang tempahan.

Katanya, jualan Durian Rahmah akan bermula pada 2.30 petang selepas bekalan buah sampai. Setiap pelanggan dihadkan untuk membeli dua bekas durian saja bagi memastikan orang lain dapat merasai.

Selain itu, Khairul Fahmy menjual pelbagai jenis durian di gerainya yang terletak di Jalan Kebun Kampung Batu 7, dan cendol durian serendah RM4.

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, berkata dengan inisiatif itu, rakyat kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara mulai 31 Jan melalui program Menu Rahmah.

Kementerian bersifat terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu menggunakan jenama Rahmah asalkan ia bertujuan membantu rakyat dan pihak yang menyediakan Menu Rahmah perlu memastikan kualiti makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.