Beri pakej internet murah kelajuan tinggi, penyedia perkhidmatan diberitahu

Beri pakej internet murah kelajuan tinggi, penyedia perkhidmatan diberitahu

Menteri komunikasi berkata penyedia perkhidmatan mampu menawarkan pakej serendah RM39 sebulan bagi kelajuan 100Mbps.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata wajar penyedia perkhidmatan berikan harga lebih murah kepada rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penyedia perkhidmatan internet wajar menawarkan pakej murah dengan kelajuan lebih tinggi kepada rakyat pada masa hadapan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pemerhatiannya menerusi pelaksanaan program Point of Presence (PoP) mendapati, penyedia perkhidmatan mampu menawarkan pakej serendah RM39 sebulan bagi kelajuan 100Mbps.

“Sebelum ini dalam program PoP saya dapati ada penyedia perkhidmatan yang sediakan pada harga lebih kurang RM49 untuk 100Mbps, ada juga yang boleh sediakan hingga RM39.

“Saya lihat bila kita usahakan melalui projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau PoP melalui Kementerian Komunikasi, wajar penyedia perkhidmatan berikan harga lebih murah kepada rakyat.

“Program ini bukan komersil semata-semata, tetapi ada objektif yang lebih strategik iaitu mengurangkan jurang bukan hanya secara fizikal membolehkan kawasan-kawasan ini menikmati Internet laju tetapi juga dari segi ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ dan Majlis Penyerahan MoU antara Kementerian Pertahanan diwakili Angkatan Tentera Malaysia dengan Kementerian Komunikasi diwakili SKMM.

Turut hadir Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Projek PoP bertujuan merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar, dengan menjadikan sekolah sebagai hab infrastruktur jalur lebar gentian optik (fiber) sekali gus membolehkan sekolah, premis kerajaan dan di sekitar kawasan perumahan, mendapat akses jalur lebar dengan kelajuan yang tinggi.

Terdahulu, dalam ucapannya Fahmi berkata program kesedaran seperti panduan menggunakan Internet dengan betul dan beretika amat penting kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuklah warga ATM.

Sehubungan itu, inisiatif melalui program kesedaran seperti Klik Dengan Bijak, inisiatif Sukarelawan ICT Malaysia dan kempen Check Your Label akan dilaksanakan.

“Program-program tersebut dapat melahirkan masyarakat yang cakna teknologi maklumat serta waspada dalam menggunakan peranti pintar di rumah, terutama dalam kalangan ahli keluarga ATM menghadapi dunia siber yang penuh mencabar mutakhir ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata program promosi perkhidmatan digital seperti Masyarakat Tanpa Tunai, Digital Health For All, MCMC-Microsoft AI TEACH, dan Pertanian Pintar AgriNXT akan turut dilaksanakan bagi meningkatkan penerimagunaan aplikasi digital oleh warga ATM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.