Agihan SARA melalui MyKad wajar jadi model bantuan sosial masa depan

Agihan SARA melalui MyKad wajar jadi model bantuan sosial masa depan

Fomca berkata kejayaan pelaksanaan SARA termasuk penghargaan RM100 kepada rakyat bermula 31 Ogos membuktikan bantuan boleh disalurkan secara terus dan efisien.

SARA BANTUAN 100
Penghargaan SARA RM100 diumum sempena Hari Kebangsaan 2025 memberi manfaat kepada 22 juta rakyat melibatkan tambahan RM2 bilion.
PETALING JAYA:
Mekanisme agihan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi MyKad wajar dijadikan model utama dalam merangka semula sistem bantuan sosial negara, kata Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Ketua Pegawai Eksekutif, T Saravanan, berkata kejayaan pelaksanaan bantuan itu termasuk program penghargaan SARA RM100 yang mula dinikmati rakyat pada 31 Ogos lalu membuktikan bantuan boleh disalurkan secara terus dan efisien tanpa ketirisan kepada golongan sasar.

“Fomca berpandangan mekanisme penyaluran bantuan melalui MyKad boleh dijadikan contoh terbaik dalam agihan bantuan sosial pada masa depan.

“Ia bukan saja mudah dan cepat, malah memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasaran tanpa berlaku salah guna atau ketirisan,” katanya kepada FMT.

T Saravanan.

Saravanan berkata, bantuan sosial disalurkan terus ke MyKad – yang dimiliki setiap warganegara, membolehkan proses pembelian barangan asas dilakukan tanpa tunai di pasar raya terpilih, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan penerimaan bantuan.

Katanya, malah melalui MyKad kerajaan dapat mengawal jenis barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan diberikan, bagi memastikan dana awam benar-benar dimanfaatkan untuk keperluan asas seperti makanan dan barangan dapur.

“Ini bermaksud, penerima tidak boleh menggunakan bantuan diterima untuk membeli barangan tidak memberi manfaat atau membahayakan kesihatan seperti rokok, vape, dan arak,” katanya.

Beliau menyifatkan kaedah itu sebagai ‘penghalang semula jadi’ kepada pembaziran malah mendidik penerima memanfaatkan bantuan bagi kesejahteraan diri dan keluarga.

“Kaedah kawalan jenis barangan ini memastikan wang subsidi benar-benar digunakan untuk tujuan asal, iaitu menampung kos sara hidup rakyat melalui keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, sayur-sayuran dan barangan dapur lain.

“Secara tidak langsung, ia membentuk satu garis panduan jelas bantuan sosial bertujuan untuk kesejahteraan keluarga, bukannya perbelanjaan yang membazir atau memudaratkan,” katanya.

Saravanan berkata, walaupun pelaksanaan SARA termasuk penghargaan RM100 menunjukkan hasil positif apabila ia memanfaatkan lebih 22 juta rakyat dewasa, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan supaya program seperti SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjadi lebih mampan.

Beliau mencadangkan beberapa langkah antaranya penyelarasan pangkalan data yang lebih komprehensif antara agensi kerajaan bagi mengelakkan pertindihan atau keciciran penerima.

“Sistem aduan masa nyata supaya rakyat dapat melaporkan isu teknikal atau penyalahgunaan dengan cepat dan berkesan, selain kempen penerangan berskala besar untuk memastikan penerima memahami senarai barangan yang diluluskan serta cara penggunaan bantuan melalui MyKad.

“Selain itu, hadkan pembelian barangan bersubsidi contohnya tiga hingga lima peket minyak masak bagi setiap keluarga dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan pembelian berlebihan,” katanya.

Saravanan berkata, kerajaan juga boleh menjalin kerjasama strategik dengan rangkaian peruncit besar dan kecil di seluruh negara bagi memastikan akses lebih meluas kepada penerima di kawasan bandar dan luar bandar.

“Serta penggunaan teknologi analisis data untuk memantau corak pembelian, menilai keberkesanan program, serta mengenal pasti sebarang unsur penyelewengan,” katanya.

Penghargaan SARA RM100 yang diumum sempena Hari Kebangsaan 2025 memberi manfaat kepada 22 juta rakyat melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi program STR dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.

Kredit RM100 sekali beri itu sah digunakan hingga 31 Dis ini di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.