
Bantuan sekali beri itu akan dikreditkan secara automatik ke dalam MyKad penerima sekali gus membolehkan mereka membeli lebih 90,000 barangan keperluan tanpa tunai.
Pembelian barangan asas boleh dibuat di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di seluruh negara hingga 31 Dis ini.
Inisiatif itu dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, dan buat kali pertama bantuan tersebut disalurkan kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira tahap pendapatan atau kategori isi rumah.
Bantuan itu juga diberikan secara individu bukan berdasarkan isi rumah, misalnya sebuah keluarga terdiri suami, isteri dan dua anak dewasa akan menerima RM400 secara keseluruhan.
Dalam sidang media khas pengumuman untuk rakyat pada 23 Julai lalu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata ia bagi meringankan beban sara hidup serta penghargaan dan meraikan rakyat sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos.
Jika ada dalam kalangan rakyat tidak membelanjakannya pada akhir tahun ini, ia akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun berikutnya.
Bagi tahun ini, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya di Semenanjung pada 2024.
Langkah itu diambil bagi memastikan rakyat di seluruh negara mendapat manfaat secara saksama tanpa mengira lokasi geografi.