
Katanya, terdapat baki dua fasa bayaran STR yang akan dibuat pada Ogos 2025 dan November 2025.
“Kerajaan telah meningkatkan peruntukan ke tahap tertinggi bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) iaitu kepada RM13 bilion daripada RM10 bilion.
“Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60% penduduk dewasa negara,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
MoF menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkenaan jumlah peruntukan kewangan yang diagihkan bagi 2024 untuk program Sara.
MoF berkata sehingga 14 Julai, 2025, lebih 4.9 juta daripada keseluruhan penerima Sara menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis-premis berdaftar.
Ini mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 92% secara keseluruhan bagi bulan keempat pengkreditan.
“Seramai 5.4 juta penerima direkodkan dengan jumlah kelayakan Sara untuk setahun sebanyak RM5 bilion.
“Jumlah penerima Sara juga ditingkatkan secara signifikan daripada 700,000 kepada 5.4 juta bermula April 2025,” kata kementerian.
Tambahnya, kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan program bantuan tunai kerajaan terus disalurkan kepada golongan memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup.