
Perkongsian seorang jurugambar di Reddit mengundang tular apabila dia meminta pandangan pengguna media sosial susulan tindakannya selepas tidak dibenarkan rehat untuk makan dan minum selepas seharian bekerja.
Dedah jurugambar itu, dia bertindak memadam semua gambar hari bahagia pasangan pengantin tersebut selepas tidak dibenarkan untuk berehat sebentar.
Berkongsi pengalaman itu di Reddit, individu yang enggan dikenali itu menjelaskan dia sebenarnya pendandan anjing sepenuh masa yang gemar mengambil gambar anjing pelanggannya dan berkongsi di dalam talian. “Itu memang minat saya,” katanya.
“Baru-baru ini seorang rakan bertanya jika saya mahu menjadi jurugambar perkahwinan mereka kerana bajet mereka sangat terhad.
“Saya agak kurang yakin pada mulanya, namun mereka mendesak dan tidak kisah jika gambar itu tidak sempurna. Apapun kita hanya mampu merancang,” akurnya.
Pada hari kejadian, dia mengikut pasangan pengantin itu dari satu temujanji ke temujanji seterusnya bagi merakam setiap proses sehingga tiba ke lokasi majlis resepsi.
“Saya mula bertugas kira-kira jam 11 pagi dan sepatutnya selesai pada jam 7.30 malam. Jadi bila makan malam dihidang untuk tetamu, saya berharap sangat dapat rehat sekejap, makan dan minum, tapi itu tidak dibenarkan.
“Saya diberitahu saya tidak boleh berhenti makan sebab saya perlu menjadi jurugambar, malah tempat untuk saya makan juga tidak disediakan.
Dihambat rasa penat, lapar dan panas, jurugambar tersebut mula rasa menyesal. Pengantin juga tidak rasa terpanggil untuk melayani keperluannya.
“Dia memberitahu saya, kamu perlu menjadi jurugambar atau pergi dari sini tanpa sebarang bayaran. Dengan cuaca yang panas, lapar dan rasa bengang, saya tanya dia, adakah dia serius dan dia jawab ya, jadi saya padam semua gambar yang saya ambil dihadapannya dan terus berlalu.
“Kalaulah saya dibayar AS$250, jujur saya sanggup gunakan wang itu untuk segelas air sejuk dan tempat untuk duduk selama lima minit,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut pantas mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-rata meyakinkan jurugambar tersebut bahawa tindakannya adalah setimpal.
“Kamu boleh jatuh sakit dan mereka layan kamu seperti ini,” kata seorang pembaca.
“Biar betul. Mereka mahu kamu kerja lapan jam setengah tanpa makanan, air yang terhad dan rehat. Nama pun menolong, duit pun tak dibayar. Apa lagi yang mereka nak?” komen seorang warganet bengang.
“Dia suruh kamu pergi tanpa bayaran, dan kamu buktikan yang dia tidak menipu,” kata seorang lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]