
Sari seperti diketahui ramai adalah pakaian kebangsaan bagi wanita di negara India. Namun hakikat itu bukan penghalang untuk sebuah restoran menyekat seorang wanita dari masuk ke premis berkenaan kerana memakainya.
Menerusi perkongsian video yang mula tular di media sosial itu, seorang wanita dihalang masuk ke sebuah restro-bar di Ansal Plaza.
Menurut kakitangan restoran terbabit, sari tidak termasuk dalam kategori kod berpakaian “smart casual”.
Anita Chaudhary, seorang wartawan yang bengang dengan insiden itu memuat naik video tersebut di saluran YouTube dengan keterangan, “Cuba dengar betul-betul video ini, kerana ada restoran di Delhi yang menganggap Sari bukan pakaian ‘smart’.”
“Selepas itu, pelbagai lagi alasan diberikan terhadap pemakaian sari tapi saya tidak dibenarkan masuk ke restoran itu kerana busana sari India bukan pakaian yang ‘smart’ di India, Bharat (panggilan lain untuk India), Hindustan,” kata keterangan itu lagi.
“Insiden memalukan disebabkan sari yang saya pakai semalam amat mengesankan dan merobek hati ini berbanding penghinaan lain yang pernah saya lalui setakat ini,” tambahnya.
“Saya nak tanya Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Ketua Menteri Delhi, Polis Delhi dan Suruhanjaya Wanita Kebangsaan, apakah definisi sebenar-benarnya untuk ‘smart outfit’ supaya saya boleh berhenti memakai sari.
India Today cuba menghubungi pihak Ansal Plaza, namun semua talian telah ditutup.
Difahamkan juga ia bukan kali pertama insiden tersebut berlaku. Pada Mac tahun lalu, kejadian sama berlaku di mana seorang wanita dihalang untuk masuk ke restoran di pusat beli-belah Vasant Kunj kerana memakai sari.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]