
Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata wanita berusia 22 tahun itu ditangkap pada 16 Dis lalu di sebuah pangsapuri di Rawang, Selangor.
Katanya, wanita itu bersama teman lelakinya yang masih bebas pergi ke sebuah kedai emas di Port Dickson pada 7 Dis lalu dan berpura-pura mahu membeli gelang tangan emas.
“Secara tiba-tiba suspek terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, susulan laporan dibuat pekerja kedai emas itu, polis berjaya mengesan suspek dan menahan wanita berkenaan di sebuah pangsapuri di Rawang manakala teman lelakinya masih dikesan.
“Hasil tangkapan ini kita berjaya menemui semula gelang emas itu yang dipajak di sebuah kedai pajak gadai di Seremban.
“Suspek berumur 22 tahun mengaku mencuri gelang tangan tersebut untuk melangsaikan hutang kereta milik teman lelakinya,” katanya.
Katanya, wanita itu sudah didakwa di Mahkamah Port Dickson hari ini mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.