
Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sudah melabuhkan tirainya semalam setelah menyaksikan atlet paralimpik bertanding selama 12 hari, meninggalkan pelbagai kenangan manis dan pahit selain mencipta rekod dunia baharu dalam suasana pandemik.
Kontrovasi pembatalan pingat emas atlet lontar peluru F2, Muhammad Ziyad Zolkefli yang menyundang kekecewaan rakyat Malaysia pastinya antara kenangan pahit buat seluruh masyarakat.
Namun, di sebaliknya ada juga kenangan manis buat atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly yang cedera sewaktu melakukan lompatan kelima ketika saingan acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual).
Insan yang pertama dilihat menghulurkan bantuan kepada pemenang pingat emas ketiga negara itu adalah pesaing terdekatnya, Athanasios Prodromou dari Greece.
Aksi Prodromou yang berlari dan bertanyakan keadaan Abdul Latif sejurus melihat rakan pesaingnya itu cedera mengundang rasa terharu penonton yang dapat menyaksikan acara tersebut secara siaran langsung di televisyen.
Dia turut memanggil pegawai perubatan bagi memastikan atlet negara itu diberi rawatan awal.
Prodromou dilihat turut menyapu pasir yang melekat di badan Abdul Latif setelah wira negara itu dinaikkan di atas kerusi roda.
Rata-rata netizen yang turut menyaksikan momen tersebut memuji tindakan yang dilakukan oleh atlet Eropah itu dan mengucapkan terima kasih kepadanya.
Untuk rekod, Abdul Latif berjaya memperolehi pingat emas manakala atlet dari Greece itu memenangi pingat perak acara berkenaan.
Malaysia berjaya membawa pulang tiga emas dan dua perak menerusi sukan powerlifting, badminton, boccia dan lompat jauh sekali gus memperbaiki pencapaian di Rio 2016.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]