‘Bukan satu, rupanya tiga anak lembu’ – aksi pemandu bawa lembu di laluan pandu-lalu tular

‘Bukan satu, rupanya tiga anak lembu’ – aksi pemandu bawa lembu di laluan pandu-lalu tular

Seorang wanita terkejut melihat pemandangan luar biasa itu ketika mahu membeli makanan segera.

Video tular itu dirakam Jessica Nelson ketika sedang beratur di laluan pandu-lalu sebuah restoran makanan segera di Marshfield, Wisconsin.

“Opocot lembu!”. Bagi seorang pelatah, mungkin ayat ini akan terpacul secara spontan. Apa lagi selepas melihat pemandangan luar biasa seperti yang dialami Jessica Nelson dari Marshfield Wisconsin ini.

Fokus wanita itu yang pada mulanya sedang beratur di laluan pandu lalu sebuah restoran makanan segera teralih sebaik terlihat sesuatu yang luar biasa di tempat duduk belakang pemandu di depan keretanya.

Ada seekor lembu di tempat duduk belakang kereta itu.

Kejadian itu segera dirakam dan dimuat naik ke laman Facebook dengan keterangan, “BIAR BETUL, IA MEMANG SEEKOR LEMBU!!!

“Pada mulanya saya fikir ia lembu palsu. Siapa yang nak letak lembu dalam Buick?,” katanya kepada Associated Press.

Lagipun, kenapa pula lembu itu berada di restoran yang cukup terkenal dengan burger dagingnya yang sedap.

Apa yang lebih mengejutkan, mamalia itu tiba-tiba menggerakkan kepalanya. “Barulah saya sedar ia 100% asli.

“Tiada orang yang teruja seperti saya. Saya seorang saja yang sibuk merakam peristiwa itu,” katanya menurut Green Bay Press-Gazette.

Seperti dijangka, video itu pantas tular di media sosial dengan 52,000 tontonan dan lebih 2,000 perkongsian keesokan harinya.

“Semuanya kerana seorang lelaki tua membawa lembu comelnya di laluan pandu-lalu McDonald’s. Saya harap saya dapat berkongsi semunya dengan beliau,” katanya dalam satu perkongsian susulan.

Penduduk Mosinee itu kemudian memberitahu AP bahawa pemilik kenderaan itu ada menghubunginya dan menjelaskan lembu itu baru saja dibeli pada satu lelongan.

Malah, apa yang lebih mengejutkan ialah kereta itu dipenuhi bukan seekor tetapi tiga ekor anak lembu.

“Sebenarnya ada tiga anak lembu di tempat duduk belakang kenderaan tersebut!” katanya kepada Green Bay Press-Gazette.

Sejak video asal dimuat naik pada 26 Ogos lalu, ia kini sudah ditonton lebih 249,000 warganet.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.